Saturday, September 3, 2011

Ukiran sebesar sel darah



BIRMINGHAM - Bagaimana agaknya rupa ukiran yang mempunyai saiz sama seperti sel darah manusia?

Jawapan itu boleh dijawab melalui hasil seni pengukir Britain, Willard Wigan yang mempunyai kebolehan mengagumkan untuk menghasilkan ukiran sangat kecil dan halus.

Lelaki dari bandar Birmingham itu menghasilkan ukiran perenang Olimpik Britain, Tom Daley yang mempunyai ukuran sama seperti sel darah, hasil seni paling kecil pernah dihasilkannya setakat ini.

Wigan menghabiskan masa berbulan-bulan menghasilkan ukiran itu menggunakan kepingan emas yang sangat halus dan boleh hancur hanya dengan terkena geta-ran nadi di tangannya.

Ukiran Daley diletakkan di atas sehelai bulu mata itu berukuran kurang 20 mikron berbanding sel darah manusia yang berukuran antara 10 mikron dan 20 mikron serta diwarna menggunakan bulu kaki seekor lalat dijadikan sebagai berus.

“Saya mendapat idea untuk membuat ukiran perenang ini selepas melihat bulu mata saya di bawah mikroskop yang kelihatan seperti papan anjal,” kata pengukir berumur 54 tahun itu yang menggunakan teleskop berkuasa tinggi dan peralatan khas bagi menghasilkan ukiran-ukiran kecil itu.-SH

No comments:

Post a Comment