Saturday, September 3, 2011

Wanita impi temui ibu susuan



KUALA NERANG - Seorang wanita berusia 32 tahun mengesan lima ibu susuan dalam usaha untuk merungkai kisah sebenar dirinya di samping mahu menunaikan pesanan yang ditinggalkan oleh arwah datuknya, Mohd Noh pada tahun 2003.

Dakwanya, timbul beberapa kekeliruan mengenai status dirinya sehingga memaksa dia berusaha keluar daripada kepompong sedia ada untuk mencari kebenaran.

Nor Saniah Abdul Rahim, berkata, hanya berbekalkan sekeping gambarnya semasa berusia setahun dan sekeping gambar arwah datuknya, gambar-gambar berkenaan tidak mampu memberi isyarat yang jelas buat dirinya tentang latar belakangnya sebenar.

Menurutnya, dia berusaha mencari tapi gagal berikutan lima ibu susuannya tinggal di beberapa negeri di Sarawak, Perak, Pulau Pinang dan Kedah selain langsung tidak mengenali mereka.

“Arwah datuk sebelum meninggal dunia berpesan, “engkau carilah lima ibu susuan yang telah menyusukan engkau, mereka tahu kisah sebenar engkau dan datuk takut engkau akan diapa-apakan nanti selepas datuk sudah tidak ada”. Berpegang kepada pesanan itu, saya cuba mencari tetapi gagal.

“Saya juga tahu sedikit-sebanyak latar belakang diri saya, tetapi ia tidak mampu dibuktikan dengan hanya berkata-kata,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bukit Tembaga, dekat sini.



Hidup ihsan jantung orang lain

Dakwanya semasa berusia dua bulan dia menghidap demam panas kronik selain menghadapi masalah di bahagian jantung yang semakin tidak berfungsi dan doktor menjangkakan bahawa hidupnya tidak akan bertahan lama semasa mendapatkan rawatan di Hospital di Brunei.

Namun sepasang suami isteri telah membenarkan untuk menderma jantung anaknya yang baru sahaja meninggal dunia kepada Nor Saniah dan keajaiban berlaku apabila jantung berkenaan sesuai dengan dirinya.

“Saya terhutang budi dengan pasangan suami isteri berkenaan seumur hidup dan jika saya teringin berjumpa dengan mereka sekiranya diberikan peluang,” katanya.

Bapanya bekerja sebagai seorang tentera semasa berada di Sarawak dan selepas itu dia telah dijaga oleh lima keluarga kawan bapanya.

“Saya difahamkan dijaga oleh lima keluarga tentera yang tidak mempunyai anak yang juga kawan kepada bapa saya, selepas kehadiran saya mereka akhirnya mendapat anak sendiri,” katanya.



‘Sudah besar datanglah cari kami’

Selain hidup selepas ‘meminjam’ jantung orang lain, Nor Saniah yang turut mengalami masalah di bahagian mata kirinya juga sering mendapatkan rawatan di hospital.

Ketika berusia 13 tahun, sepasang suami isteri telah datang kepadanya semasa mendapatkan rawatan mata di Ipoh, Perak pada 1986.

Menurutnya, pasangan berkenaan memeluk erat dirinya selain enggan memperkenalkan diri mereka.

“Saya tanya mereka siapa, dan mereka cakap apabila sudah besar, datanglah cari kami, waktu itu saya tidak mengerti apa-apa.

“Sejak itu, saya pernah bertanya kepada ibu dan bapa saya mengenai perkara ini tetapi mereka hanya mendiamkan diri seolah-olah menyimpan sesuatu daripada pengetahuan saya,” katanya.



Mencari untuk rungkai kebenaran

Dia yang ditemani oleh suaminya, Roslan Md Jamil, 46, berkata, pendedahan ini dibuat adalah untuk mencari kebenaran semata-mata selain mahu menjejaki lima keluarga susuannya.

Menurutnya, selain itu, dia berharap kedatangan Syawal kali ke-32 buat dirinya akan turut membawa sinar cahaya selain mahu memenuhi pesanan arwah datuknya.

“Sekiranya saya gagal mengesan kelima-lima ibu susuan pun, ia sudah memadai apabila dapat menemui walaupun salah seorang sahaja daripada mereka,” katanya.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat ataupun cuba membantu Noor Saniah bolehlah menghubunginya di talian 019-4238154 atau 019-4297665.-SH

No comments:

Post a Comment