ROKIAH menghulurkan makanan untuk Tuan Abd Rahman melalui lubang pagar bangsal buruk di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh. |
PASIR PUTEH: Hati ibu mana yang tidak pilu mengenangkan nasib anak sulungnya yang terpaksa dikurung 24 jam di sebuah bangsal buruk di Kampung Gong Manak, Cherang Ruku dekat sini, sejak lapan bulan lalu.
Rokiah Majid, 57, juga terpaksa menelan cacian dan hinaan penduduk kampung atas tindakannya mengurung Tuan Abd Rahman Tuan Daud, 41, yang dianggap tidak berperikemanusiaan.
“Ibu mana sanggup kurungkan anak seperti dalam penjara, namun apakan daya, saya terpaksa lakukan juga kerana bimbangkan keselamatannya dan mak cik seandainya dia terlepas dari kurungan.
“Ketika arwah suami masih hidup, Tuan Abd Rahman bebas bergerak dengan kawalan ketat, namun selepas beliau meninggal, saya tidak mampu berbuat demikian kerana sering menghadapi masalah,” katanya sebak mengenangkan dirinya sering dimarahi dan dihina penduduk kampung.
Saat paling menduga ialah apabila anaknya mengamuk dan bertindak agresif kerana mahu keluar dari kurungan, namun tiada apa yang boleh dilakukan selain berdoa supaya Tuan Abd Rahman kembali normal seperti sebelum ini.
Rokiah berkata, anaknya pernah cuba meloloskan diri dengan merempuh zink dan kayu sehingga mencederakan dirinya sendiri.
“Berikutan itu, mak cik terpaksa memasang pukat buruk dan pagar di sekeliling bangsal bagi mengelak peristiwa sama berulang,” katanya mengakui sedih setiap kali terpaksa menghulurkan makan dan minum melalui lubang khas di bangsal anaknya, selain paip getah dimasukkan ke dalam bangsal bagi memudahkannya mandi.
Tuan Abd Rahman menderita penyakit ganjil ketika bekerja di sebuah kem tentera di Selangor, kira-kira 20 tahun lalu.
Paling membimbangkan Rokiah, siapa yang akan menjaga Tuan Abd Rahman seandainya beliau meninggal dunia dan mengharap ehsan orang ramai membantu mengubat anaknya.
No comments:
Post a Comment