Sunday, September 4, 2011

Barat, Gaddafi bekerjasama



LONDON 3 Sept. - Perisikan Britain dan Amerika Syrikat (AS) dilapor bekerjasama rapat dengan rejim Muammar Gaddafi sehingga menawarkan bantuan kepada pemimpin Libya itu, menurut laporan hari ini yang memetik fail yang ditemui di Tripoli.
Akhbar harian Britain, The Independent melaporkan, dokumen rahsia yang ditemui di pejabat bekas Menteri Luar Libya, Mussa Kussa itu turut menunjukkan Britain memberikan butiran mengenai penentang-penentang rejim yang hidup dalam buangan kepada perisikan Gaddafi.
Penemuan itu juga mendapati pejabat bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair meminta supaya pertemuan yang diadakan dengan pemimpin Libya itu pada 2004 di Tripoli perlu dibuat di khemah Bedouin, lapor akhbar itu.
Bagaimanapun belum ada reaksi balas dari Britain mahupun AS mengenai laporan tersebut.
Menurut The Independent, dokumen tersebut meningkatkan persoalan tentang hubungan Britain dan AS dengan Kussa dan rejim Gaddafi ketika kuasa Barat cuba membawa Libya keluar daripada pengasingan.
Kussa ke Britain pada Mac lalu dan berpaling tadah kepada rejim, tetapi walaupun dituduh mencabul hak asasi manusia beliau tetap dibenarkan terbang ke Qatar pada bulan berikutnya.
The Independent melaporkan, dokumen yang ditemui itu termasuklah surat-surat dan faks kepada Kussa dengan kepala surat 'Ucapan daripada MI6' (Perkhidmatan Perisikan Luar Britain) dan ucapan peribadi Krismas yang ditandatangani oleh seorang perisik kanan Britain menggunakan julukan 'Rakan anda'.
Akhbar itu turut memetik dokumen rahsia pentadbiran AS yang menyatakan 'dalam kedudukan' untuk menghantar Shaykh Musa, anggota kumpulan Pejuang Islam Libya yang merupakan rangkaian al-Qaeda kepada rejim Gaddafi.
"Kami menghormati permintaan anda berhubung tuntutan mengekstradisi Musa," kata dokumen itu. - AFP

No comments:

Post a Comment