Sunday, September 4, 2011

Qariah cilik terpilih menjadi ikon Besut


NURUSSYAHAMAH menunjukkan sijil penyertaan tilawah di Qatar kepada Idris (kanan) yang mengunjunginya di Kampung Alor Keladi, Besut kelmarin.


BESUT – Qariah muda negara, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, yang meraih tempat ketiga pada Pertandingan Akhir Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar baru-baru ini dipilih sebagai Ikon Besut Bumi Ulul Albab.
Pemilihan murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jertih dekat sini berdasarkan kejayaan Nurussyahamah mengharumkan nama Malaysia dan Besut pada pertandingan peringkat dunia itu.
Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pemilihan Nurussyahamah itu juga membolehkannya menerima hadiah penghargaan sebanyak RM2,000.
“Dia juga telah dijadikan anak angkat UMNO Bahagian Besut selain akan dicalonkan sebagai Tokoh Muda Semarak Merdeka pada program sambutan Semarak Merdeka di bandar Jerteh pada 24 September nanti,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Jelas Idris, langkah itu juga mampu menggalakkan lebih ramai golongan muda berusaha mencapai kecemerlangan di peringkat global sejajar dengan hasrat menjadikan Besut sebagai Bumi Ulul Albab.
Pada pertandingan akhir pada 27 Ogos lalu yang disiarkan secara langsung oleh televisyen Al-Jazeera dari Dewan Studio Al-Jazeera di Doha itu, Nurussyahamah berjaya menduduki tempat ketiga.

No comments:

Post a Comment