Sunday, September 4, 2011

Kebuluran di Somalia merebak



NAIROBI 3 Sept. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis kebuluran yang melanda selatan Somalia dijangka merebak ke wilayah lain dalam tempoh beberapa hari.
Menurut PBB, situasi di negara ini terus bertambah buruk, walaupun usaha bantuan antarabangsa secara besar-besaran sedang dijalankan.
"Situasi kini menjadi bertambah buruk," kata pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam laporannya yang dikeluarkan lewat semalam.
Menurut laporan itu, Jabatan Analisis Pemakanan Keselamatan Makanan Somalia (FSNAU) memberi amaran hampir semua wilayah selatan Somalia akan berhadapan dengan kebuluran.
"Walaupun pelarian berkurangan, kadar pemakanan tidak seimbang serta kematian meningkat dan penyakit berjangkit merebak," kata OCHA.
PBB sebelum ini menyifatkan Somalia berhadapan dengan krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.
Kebuluran diisytiharkan di selatan Bakool dan wilayah Lower Shabelle di selatan Somalia pada Julai lalu.
Ia kemudiannya merebak ke tiga kawasan lain, termasuk ibu negara Somalia, Mogadishu dan koridor Afgoye, kem pelarian terbesar di dunia.
Kebuluran diisytiharkan apabila 20 peratus daripada isi rumah berhadapan dengan kekurangan makanan serius, pemakanan tidak seimbang melebihi 30 peratus dan dua kematian untuk 10,000 orang setiap hari, menurut tafsiran PBB. - AFP

No comments:

Post a Comment