Sunday, September 4, 2011

Isteri, keluarga reda





2011/09/04

NORAZRINA bersama dua anaknya di Taman Serdang Raya, Kuala Lumpur, semalam.
NORAZRINA bersama dua anaknya di Taman Serdang Raya, Kuala Lumpur, semalam.
Allahyarham sempat sedia kelengkapan raya anak 

KUALA LUMPUR: “Ini yang Allah tetapkan.. Dia yang beri, Dia yang ambil dan Dia juga yang akan memelihara saya dan anak untuk teruskan kehidupan,” kata Norazrina Jaafar, 37, yang reda dengan pemergian suaminya yang juga jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, yang meninggal dunia di Somalia, kelmarin.
Ibu kepada dua anak itu mulanya kelihatan tabah dan cuba menyembunyikan kesedihannya, namun gagal berbuat demikian apabila air matanya bercucuran ketika ditanya mengenai sifat Allahyarham Faizul sebagai seorang suami dan seorang bapa ketika hayatnya.
“Sebagai orang media Allahyarham memang sibuk dan dalam kesuntukan masa itu, dia cuba meluangkan masa bersama keluarga, terutama anak,” katanya ketika ditemubual di rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya yang dibanjiri sanak saudara, kenalan dan wakil media sejak awal pagi, semalam. 

Katanya, arwah seorang bapa yang penyayang dan amat menghormati ibu bapanya, Naemah Abdul Majid, 63 dan Mohd Nor Mat Yasin, 66, selain keluarga mentua. 

Allahyarham juga sempat memberikan kelengkapan raya berupa sepasang kasut untuk kedua-dua anak lelakinya sebelum berlepas ke Mogadishu pada 28 Ogos lalu. 

Hasil perkongsian hidup dengan Norazrina yang juga pegawai perhubungan awam di sebuah agensi kerajaan, mereka dikurniakan dua anak, iaitu Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3. 
Kedua-dua anaknya juga nampak tabah, terutama Irfan yang kelihatan mendiamkan diri dengan mata kemerah-merahan di sebelah Norazrina yang ditemubual lebih 10 wakil media. 

Norazrina berkata, suaminya tidak menunjukkan tanda pelik sebelum berlepas ke Somalia, malah beliau berkelakuan seperti biasa selain sempat berpesan kepadanya melalui telefon supaya menjaga diri dan anak dengan baik. 

Sementara itu, ibu arwah, Naemah ketika ditemui berkata, sambal ikan bilis dan kemeja-T berwarna kelabu yang dipakai anak sulungnya ketika menziarahi keluarganya sebelum berlepas ke Somalia beberapa hari sebelum Syawal menjadi kenangan terakhir buat mereka. 

“Meskipun sedih dan terkilan dengan pemergiannya, kami sekeluarga reda dengan ketentuan takdir, walaupun jarang berjumpa kerana kesibukan kerjanya. 

“Walaupun kesuntukan masa, Ijoy (panggilan manja arwah) sempat mengirimkan sejumlah duit raya buat ibu bapanya dan ahli keluarga serta membeli kasut raya di pusat beli-belah, The Mines untuk kedua-dua anaknya,” katanya sebak. 

No comments:

Post a Comment