Sunday, September 4, 2011

Najib sifatkan Noramfaizul wira Malaysia sebenar


Gambar Noramfaizul Mohd. Nor yang dirakamkan oleh rakan setugasnya beberapa jam sebelum jurukamera BernamaTV itu terbunuh setelah terkena tembakan curi ketika menyertai misi bantuan di Somalia, kelmarin. – BERNAMA



PERTH 3 Sept. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi di Somalia, semalam, sebagai seorang wira Malaysia sebenar “yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan”.
Sambil melahirkan rasa sedih berhubung apa yang berlaku, Najib berkata: “Kita telah kehilangan seorang rakyat Malaysia sangat mulia dan benar-benar berdedikasi.
“Beliau bersedia mengambil risiko untuk memberikan liputan meluas mengenai misi kita membantu orang lain di banyak tempat di dunia.”
Bercakap kepada Bernama hari ini, Najib berkata, lawatannya ke Perth disingkatkan dan akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini bagi membolehkan beliau berada di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang untuk ketibaan jenazah Noramfaizul dari Mogadishu, esok.
Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di di Somalia.
Noramfaizul telah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Malaysia di seberang laut yang bertujuan untuk menolong mereka yang amat memerlukan bantuan.
“Beliau seorang yang berdedikasi dan individu yang tidak mementingkan diri yang bersedia untuk bertugas di kawasan persekitaran yang mencabar dan ganas seperti di Gaza dan Pakistan,” kata Najib.
Beliau berkata, malahan jurukamera BernamaTV itu bersedia untuk pergi ke Somalia selepas beliau menyedari ia mungkin merupakan misi berbahaya.
“Sudah tentu beliau mahu berada di tempat itu bagi merekodkan satu misi kemanusiaan. Anda boleh kata bahawa kematiannya akibat kebinasaan lingkungan.
“Bagaimanapun, kita telah kehilangan seorang yang sangat baik, rakyat Malaysia yang sebenar, seorang wira yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment