Sunday, September 4, 2011

Presiden Somalia ucap takziah, janji siasat





2011/09/04

Sheikh Sharif Sheikh Ahmed
Sheikh Sharif Sheikh Ahmed
Kawalan ketat pihak keselamatan ke lapangan terbang

PUTRAJAYA: Presiden Somalia, Sheikh Sharif Sheikh Ahmed menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyampaikan ucapan takziah dan kesal dengan kejadian menimpa Noramfaizul Mohd Nor, 40, jurukamera BERNAMA TV yang terbunuh terkena tembakan curi ketika membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, kelmarin.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Menteri Keselamatan Dalam Negeri Somalia, Abdisamad Maallin Mohamud pula memberi jaminan pihak berkuasa negara itu akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu yang turut mencederakan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, 27.
Beliau berkata, persediaan sedang dibuat untuk membawa pulang jenazah Allahyarham dan semua anggota misi kemanusiaan berkenaan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dijangka tiba di Kuala Lumpur pagi ini. 

“Pihak keselamatan Somalia akan memberikan kawalan ketat bagi perjalanan misi ini ke lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Normafaizul maut, manakala Aji Saregar cedera selepas terkena tembakan curi penyerang tidak dikenali ketika pulang daripada membuat liputan misi bantuan kemanusiaan ke Somalia, kira-kira jam 5.40 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia).

Sementara itu, BERNAMA dalam laporan dari Mogadishu, melaporkan Abdisamad memberi jaminan dalang di sebalik kejadian itu akan dicari dan dihadapkan ke mahkamah, selain turut memohon maaf dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh warga Malaysia. 
“Ini (tembakan) bukan daripada kerajaan... bukan daripada Al-Shabaab (pihak berkuasa). Ia tembakan pasukan lain dan kita akan menyiasat kenapa ini berlaku dan kenapa (rakyat Malaysia) diserang,” kata Abdisamad. 

Sementara itu, ketua misi berkenaan, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata kemalangan yang meragut nyawa Noramfaizul sukar diterima rakyat Malaysia, sekali gus menuntut siasatan menyeluruh serta penjelasan daripada kerajaan Somalia berhubung kejadian itu. 

No comments:

Post a Comment