HARI Kemerdekaan yang baru tiba menggamit memori dua wanita warga emas bekas anggota Home Guard di Kampung Manjor, Kuala Krai, Kelantan.
Sementara tugas sebagai suri rumah tidak diabaikan, mereka masih sempat mengangkat senapang Lee enfield .303 rifle demi mempertahankan kesejahteraan kampung daripada ancaman komunis.
Home Guard atau pengawal kampung ialah pasukan di peringkat kampung yang ditubuhkan kerajaanbagi mengekang pengaruh komunis semasa era Darurat yang bermula dari tahun 1948 hingga 1960. Ia melibatkan pengawal lelaki dan wanita.
Daripada 12 orang anggota Home Guard wanita di Kampung Manjor, hanya dua orang kini yang masihhidup iaitu Azizah Musa, 71, dan Sofiah Yusof, 70.
Azizah memberitahu, Home Guard wanita biasanya melakukan kawalan dan rondaan di sekitar kampung pada waktusiang khususnya semasa kaumlelaki pergi bekerja atau menunaikan solat Jumaat di masjid.Home Guard lelaki selalunya berkawal pada waktu malam.
“Tetapi adakalanya kami perlu berjaga malam juga terutamanya jikasuami tiada di rumah disebabkanada urusan.
“Saya teringat bagaimana saya berkawal sampai tertidur dengan senapang di atas tangga depan rumah.
“Sebagai ahli Home Guard kita kena pantas bertindak. Itu yang kadang-kadang perlu bersedia dengan senapang di depan rumah,” kata Azizah kepada Jurnal.
Azizah turut menunjukkan kad anggota Home Guard yang masih disimpannya yang bertarikh 29 Jun 1953.
Jelas Azizah, Home Guard wanita di kampungnya dipilih oleh penghulu kampung dalam kalangan isteri kepada Home Guard lelaki.
“Semasa mula-mula diberikan senapang untuk dicuba, saya tiada sedikit pun rasa takut, bahkanbersemangatuntuk menyelamatkan kampung daripada komunis,” katanya.
Sementara itu, Sofiah berkata, Home Guard wanita di kampungnya dilatih menggunakan senapang oleh pihak polis di Padang Tembak, Kota Bharu.
“Setiap kali mendengar tembakan menghampiri kampung, sayaamat cemas. Saya akan segera mengambil senapang manakaladua orang anak saya masuk ke dalam lubang persembunyian di dalam rumah.
“Tetapi komunis tidak pernah memasuki kampung kami. Saya pernah mendengar cerita, komunis yang ingin menyerah diri lebih rela menyerah di kampung lain kerana takut dengan Home Guard wanita di kampung ini,” ujarnya yang mendakwa Kampung Manjor sahaja yang mempunyai Home Guard wanita di Malaysia.
Sofiah sempat berpesan kepada generasi muda hari ini agar mensyukuri keamanan yang diperoleh kini.
“Hargailah keamanan dan kesenangan yang dinikmati sekarang kerana betapa sukarnya hidup dalam belenggu ketakutan dan kesusahan sebelum negara mencapai kemerdekaan,” ujarnya.
-kosmo
No comments:
Post a Comment