Sunday, September 4, 2011

‘Kembalikan tanah saya’



TUMPAT – “Sedih pakcik bila dapat tahu tanah ini sudah bertukar milik nama orang lain, sedangkan selama ini pakcik yang bersusah payah membanting tulang empat kerat selama 46 tahun bangunkan tanah kerajaan ini,” keluh seorang petani, Alam Isa, 56, dari kampung Kok Bedullah, di sini.

Alam atau lebih dikenali Pak Ngah Him mendakwa, permohonan untuk mendapatkan hak milik tanah itu atas namanya gagal gara-gara surat-menyurat urusan tanah berkenaan yang dihantar oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat lewat sampai kepadanya.

“Memang surat daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat itu membawa khabar yang menggembirakan kerana permohonan pakcik sejak tahun 2007 diluluskan, tetapi sayang sekali ia sampai lewat.

“Pakcik percaya ia angkara khianat saudara pakcik sendiri yang mahukan tanah itu, dia sembunyikan surat tersebut dan selepas tiga bulan dari tarikh surat itu baru surat itu dihantar ke rumah pakcik,” katanya.

Menurutnya, tidak puas hati dengan kelewatan surat yang diterimanya itu, dia ke Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat untuk membuat rayuan memohon tanah itu semula.

“Tunggu punya tunggu tiada jawapan dan akhirnya penantian pakcik itu terjawab juga apabila seminggu sebelum raya, ada batu tanda sempadan di tanah yang diusahakan pakcik ini selama 46 tahun dengan tanaman kelapa dan kawasan tanah ragut lembu.

“Susah hati betul pakcik bila nampak batu tanda sempadan itu, pakcik terus bergegas ke Pejabat Tanah Jajahan Tumpat. Terkejut pakcik apabila tanah itu sudah bertukar milik atas nama saudara pakcik,” katanya.

Pak Ngah Him berkata, adalah tidak adil sekira saudaranya yang mendapat tanah itu sedangkan selama ini dia tidak pernah pun mengusahakan tanah kerajaan itu.

“Pakcik usahakan tanah ini sejak umur 10 tahun lagi, mengikut arwah ayah membuka tanah hutan milik kerajaan ini yang diusahakan oleh adik beradik arwah ayah pakcik seramai tiga orang di atas tanah seluas 0.8 hektar.

“Dua adik beradik arwah ayah sudah mendapat hak milik tanah itu, cuma pakcik seorang saja lagi dalam proses permohonan dan agak malang apabila usaha pakcik mendapatkan hak milik tanah ini seluas 600 depa untuk bahagian pakcik tiba-tiba orang lain pula yang dapat,” katanya.

Menurutnya, dia merayu kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat agar permohonan untuk mendapatkan tanah ini disemak semula.

“Bila jadi macam ini, pakcik tak tau nak letak lembu pakcik di mana, hanya ini saja tanah pakcik ada. Lembu pula banyak, lapan ekor, nak lepas merata-merata, nanti hilang pula,” katanya yang turut dibina kandang lembu dan bangsal berteduh di atas tanah berkenaan.

No comments:

Post a Comment