Monday, September 5, 2011

Iran mula bekal tenaga nuklear





2011/09/05

TEHERAN: Loji kuasa nuklear pertama Iran mula membekalkan 60 megawatt daripada kapasiti 1,000 megawatt tenaga elektrik, kata Pertubuhan Tenaga Atom negara itu semalam. 

“Malam kelmarin pada jam 11.29 malam waktu tempatan, loji kuasa Bushehr disambungkan dengan 60 megawatt mengikut grid kebangsaan,” kata jurucakap pertubuhan itu, Hamid Khadem Qaemi, kepada televisyen Al-Alam.
Sambungan loji yang dibina Russia di selatan Iran dengan grid kebangsaan itu pada mulanya dijadualkan selesai akhir 2010. Loji Bushehr dibina pada November 2010, tetapi masalah teknikal berulang melewatkan operasinya, menyebabkan pembuangan logam bahan bakar Mac lalu.
“Kapasiti akan meningkat dan melepasi fasa ujian dan pada 12 September ini dan loji kuasa itu akan mencapai kapasiti 40 peratus,” kata Khadem Qaemi. 

Timbalan ketua atom yang bertanggungjawab ke atas loji nuklear itu, Mohammad Ahmadian, memberitahu stesen televisyen loji berkenaan dijangka mencapai kapasiti penuh November ini. 

“Bagaimanapun, penting bagi kami mengambil langkah akhir dengan penuh berhati-hati. Kami mahu menjamin operasi berfungsi,” katanya. 
Pertengahan Ogos lalu, ketua pertubuhan atom Iran, Fereydoon Abbasi Davani, berkata loji itu dijangka mencapai kapasiti 1,000 megawatt lewat November atau awal Disember. 
Russia, yang membina loji itu, berkata jurutera terpaksa membuat kerja menggunakan komponen yang ketinggalan zaman. Pembinaan bermula pada tahun 1970-an dengan bantuan syarikat Jerman, Siemens, yang menarik diri daripada projek itu selepas revolusi Islam 1979 berhubung kebimbangan perjanjian nuklear. – AFP 

No comments:

Post a Comment