Monday, September 5, 2011

Sedu tangisan iringi ketibaan




bhnews@bharian.com.my
2011/09/05


  • Foto
    DALAM suasana pagi suram, ribuan menyambut jenazah jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor dan 54 anggota Misi Kemanusiaan Somalia di Subang, semalam.
  • Foto
    NAJIB bersama Muhyiddin mengaminkan doa selepas solat jenazah di Masjid Pangkalan TUDM, Subang, semalam.
PM mahu pengorbanan jadi model

SUBANG: Pagi semalam suasana di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini berbeza sekali apabila keluarga dan ribuan masyarakat pelbagai lapisan menunggu ketibaan jenazah wakil media yang terkorban ketika melaksanakan tugas membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.
Kesedihan dan bunyi tangis ahli keluarga kedengaran ketika pesawat C 130 yang membawa jenazah jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor dan 54 anggota misi bantuan kemanusiaan itu, mendarat kira-kira jam 10.05 pagi.
Sebaik mendarat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menunggu jenazah menaiki pesawat menemui anggota misi bantuan kemanusiaan itu.

Mereka kemudian bersama bapa Allahyarham Noramfaizul, Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan ibu, Naemah Abd Majid, 63, serta ahli keluarga lain mengiringi jenazah ke van jenazah yang dibawa ke Masjid Pangkalan TUDM di Subang.

Pada sidang media selepas itu, Perdana Menteri menyifatkan pengorbanan Allahyarham Noramfaizul wajar menjadi model untuk merangka misi bantuan kemanusiaan seterusnya, selain merangsang semangat petugas media yang membuat liputan di kawasan berisiko tinggi. 

“Allahyarham disifatkan sebagai wira negara dan kita patut jadikan pengorbanan beliau sebagai model, malah cerita dan kisah yang menimpanya wajar merangsang semangat kita untuk terus memainkan peranan dalam misi bantuan kemanusiaan seterusnya,” katanya. 
Najib berkata, pengorbanan Allahyarham Noramfaizul turut menaikkan imej Malaysia sebagai negara yang sentiasa berada di saf hadapan dalam membantu negara lain yang mengalami malapetaka atau kesengsaraan.

Beliau turut memaklumkan kerajaan akan memberikan bantuan kepada keluarga Allahyarham termasuk menanggung kos pendidikan dua anaknya, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus menghantar misi bantuan kemanusiaan dan memberi jaminan memberi perhatian khusus terhadap aspek kawalan keselamatan membabitkan semua peserta misi berkenaan.

Dalam misi bantuan kemanusiaan, katanya, aspek kawalan keselamatan dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pasukan pengaman atau kerajaan sedia ada dan permintaan di luar daripada yang mereka sanggup tidak akan diberikan. 

No comments:

Post a Comment