2011/09/05
STRAUSS-KAHN bersama isteri, Anne tiba di lapangan terbang Charles de Gaulle di Roissy, Perancis, semalam.
NEW YORK: Bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn, tiba di negara asalnya, Perancis, lewat kelmarin, tidak sampai dua minggu selepas dakwaan serangan seksual ke atasnya digugurkan.
Strauss-Kahn, 62, meletak jawatan sebagai Pengarah Urusan IMF Mei lalu selepas ditahan di Lapangan Terbang John F Kennedy dan didakwa dengan serangan seksual dan cubaan merogol seorang pembantu hotel di New York.
Minggu lalu, beliau dibebaskan apabila hakim menggugurkan tuduhan ke atasnya. Pendakwa berkata, mereka tidak boleh meneruskan kes itu kerana pembohongan pembantu hotel yang dilakukan menjadikan mustahil untuk membuktikan tuduhan itu mengatasi keraguan munasabah.
Strauss-Kahn, yang memakai sut gelap berbaju putih tanpa tali leher, senyum dan melambai kepada sekumpulan penumpang tetapi tidak bercakap dengan wartawan. Beliau tidak mendaftar di kaunter Air France sebelum melepaskan pemeriksaan keselamatan.
Pakar ekonomi dihormati Perancis dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan itu dijangka menjadi pencabar utama Presiden Nicolas Sarkozy dalam pilihan raya presiden 2012 sebelum skandal itu terbongkar Mei lalu tetapi kejadian itu menjejaskan karier politiknya.
Kepulangannya memalukan pembangkang Perancis, Parti Sosialis, ketika bersedia melakukan undian memilih calon menentang Sarkozy.
“Saya tidak sabar untuk kembali ke negara saya,” katanya kepada wartawan di luar rumahnya di Lower Manhattan pada 23 Ogos lalu selepas tuduhan terhadapnya digugurkan, menyifatkan kejadian itu sebagai pengalaman teruk dan tidak adil. – AFP
No comments:
Post a Comment