Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul  Malik Abul Kassim berkata, jenazah lelaki berkenaan dituntut sepasukan pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang daripada keluarganya kira-kira jam 1.30 pagi sebelum dibawa ke Masjid Hashim Yahya,Jalan Perak untuk dimandi dan dikafan.

Menurutnya, urusan pengebumian jenazah dilakukan di kariah masjid berkenaan berjalan dengan lancar sambil disaksikan anak lelaki serta ahli keluarganya yang beragama Buddha.

"Tiada sebarang masalah yang timbul dan ahli keluarganya dengan rela hati menyerahkan jenazah itu untuk disempurnakan secara Islam.

"Mereka juga diberi kesempatan untuk melihat jenazah itu dimandi,dikafan dan dikebumikan mengikut cara Islam" katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kematian Boo Soo, 55, akibat sesak nafas Isnin lalu mencetuskan kontroversi apabila mayatnya diletakkan di sebuah tokong di Farlim,  Ayer Itam untuk disemadikan mengikut agama Buddha.

Ahli keluarganya yang tidak tahu menahu tentang pertukaran agama Boo Soo terkejut apabila seorang lelaki yang juga bapa saudara isteri kedua Boo Soo datang untuk menuntut mayat bagi dikebumikan secara Islam.

Sebelum itu, si mati dikatakan memeluk Islam pada tiga tahun lalu di Indonesia dan mendirikan rumah tangga dengan wanita dari republik itu.

Status agama barunya bagaimanapun tidak dimaklumkan ahli keluarga termasuk tidak mendaftar perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).