Irene Fernandez mungkin disiasat ikut Akta Hasutan
Irene Fernandez
KUALA LUMPUR - Polis telah membuka kertas siasatan terhadap Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez yang didakwa berterusan memburuk dan memfitnah negara berhubung isu tenaga kerja asing.

Siasatan yang dibuka berasaskan satu laporan polis dua hari lepas mungkin dibuat mengikut Akta Hasutan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah, hari ini.
"Mungkin di bawah (Akta) Hasutan tapi kita kena lihat dulu. Kita juga mungkin akan panggil dia untuk memberi keterangan dalam membantu siasatan ini," katanya kepada pemberita di sini.

Ku berkata, setakat ini polis sedang mengumpul keterangan dan meneliti kenyataan yang dibuat Fernandez itu.

Dua hari lepas, dua badan bukan kerajaan dan pegawai dari Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, meminta siasatan dijalankan terhadap Fernandez yang dilapor mendakwa pekerja Bangladesh ditindas di negara ini serta pekerja asing sering diugut pihak berkuasa.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor mengecam tindakan Fernandez yang berterusan memburuk dan memfitnah negara, sekali gus membuktikan beliau seorang yang tidak berakhlak serta tidak setia kepada tanah air sendiri.
  
Sebelum ini, Fernandez dalam temu bual berbentuk soal jawab yang disiarkan akhbar Jakarta Post, mendakwa majikan di Malaysia melanggar undang-undang dan terbabit dalam rasuah selain anggota Rela sering menggugut pekerja asing.
  
Mengenai laporan pejabat Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga didakwa dipecah masuk malam tadi, Ku berkata, polis baru menerima laporan itu pada 11 pagi hari ini.
 
"Kita telah menghantar pegawai forensik untuk melihat kesan cap jari dan siasatan sedang dijalankan," katanya. - Bernama