Friday, May 18, 2012

Ganti Majlis Peguam gimik Umno - Aziz Bari


Tarmizi Mohd Jam,18 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Umno-BN makin terdesak apabila membangkitkan isu penubuhan akademi undang-undang bagi menggantikan Majlis Peguam yang mencetuskan pandangan tidak menyebelahi mereka mengenai Perhimpunan Aman Bersih 3.0.

Tegas pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari, isu ini telah banyak kali dibangkitkan tetapi ia hanya menjadi gimik Umno sahaja.

"Mereka melihat badan seperti itu hanya sebagai satu lagi institusi untuk menempatkan para pengampu dan kroni Umno sama seperti kebanyakan agensi termasuk universiti dan IPTA", ujarnya.

Apa pun, tambah Aziz, institusi seperti akademi undang-undang mempunyai peranan dan fungsi yang tertentu yang berbeza dengan fungsi Majlis Peguam.

"Majlis Peguam, sama seperti MMA dalam konteks doktor perubatan atau Lembaga Arkitek mempunyai peranan dan kuasa memantau profesyen berkenaan," katanya.

Beliau berasa hairan mengapa menteri-menteri Umno, termasuk yang berkelayakan sebagai peguam, boleh mengarut dan setuju dengan cadangan menubuhkan majlis peguam yang baru.

"Mungkin itu sebabnya mengapa menteri-menteri Umno yang berkelayakan sebagai peguam sering merepek dan bercakap tidak berdasarkan undang-undang," ujarnya sinis.

Bagi beliau, tidak perlu ada Majlis Peguam yang baru hanya kerana Umno-BN tidak senang dengan yang ada sekarang kerana isu ini bukan perkara baru.

"Ia telah berulang kali dibangkitkan oleh Umno, khususnya apabila Majlis Peguam mengambil pendirian yang tidak mereka sukai.

"Tetapi nanti apabila majlis mengeluarkan pendapat yang Umno suka parti itu akan berdiam diri dan isu itu akan mati begitu sahaja," tambah mantan profesor undang-undang UIAM itu.

Aziz berkata, Majlis Peguam bukanlah Badan Bukan Kerajaan atau NGO, sebaliknya, jelas beliau, ia adalah sebuah badan berkanun yang diwujudkan melalui akta parlimen.

No comments:

Post a Comment