Friday, May 18, 2012

Bantahan awal Sri Wani ditolak, peguam dituntut minta maaf



BAHROM Sanugi dan isterinya cuba mengelak lensa jurukamera ketika keluar dari bilik bicara di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 17 Mei - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membatalkan permohonan injunksi oleh pengusaha kecantikan yang jantinanya dipertikaikan oleh suami, Sri Wani Choo Abdullah ke atas dua madunya dan bantahan awal terhadap permohonan faraq oleh suaminya.
Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan memutuskan demikian selepas Sri Wani gagal hadir pada prosiding hari ini.
Keputusan itu sekali gus membenarkan permohonan Dr. Bahrom Sanugi untuk membatalkan permohonan Sri Wani mengikut Seksyen 121 (1)(c) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.
Peguam syarie, Muhammad Hafiz Ab. Rashid yang mewakili Bahrom menyatakan, Sri Wani selaku plaintif sepatutnya menyerahkan satu salinan permohonan injunksi sama ada yang asal atau telah dipinda kepadanya pada 19 April lalu namun sehingga hari ini beliau tidak menerima sebarang dokumen.
Beliau turut menyatakan, plaintif gagal menyerahkan dokumen berhubung bantahan awal yang dibuat terhadap permohonan faraq yang difailkan anak guamnya sebaliknya hanya memberikan sehelai kertas merupakan muka surat kedua dokumen terbabit.
''Kami tidak tahu apa agenda pihak plaintif hanya menyerahkan sehelai kertas iaitu muka surat kedua bantahan awal kepada kami. Malah kami juga tidak tahu mengenai alasan ketidakhadirannya hari ini,'' katanya yang turut menyatakan tindakan tersebut merupakan satu penyampaian yang tidak teratur.
Pada prosiding hari ini, tiada peguam syarie yang hadir mewakili Sri Wani.
Bahrom, 61, memfailkan permohonan faraq (dipisahkan perkahwinan) pada 17 Januari tahun lalu dan pada awal tahun ini, beliau memohon perintah mahkamah agar isteri ketiganya itu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas meragui jantina sebenar wanita terbabit.
Permohonan menjalani ujian DNA itu dibuat mengikut Seksyen 85 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.
Pasangan tersebut berkahwin di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2008.
Sementara itu, sebelum prosiding bermula, Bahrom tiba-tiba meluru ke arah jurukameraUtusan Malaysia, Amin Farij Hasan selepas menyedari gambarnya dirakam.
Sambil memegang kamera jurugambar terbabit, beliau berulang kali meminta agar gambarnya dipadamkan namun diminta dengan tenang oleh Amin agar bekas dekan itu melepaskan kameranya.
Selepas tamat prosiding pula, Bahrom dan salah seorang isterinya cuba mengelak daripada terus dirakam wajah mereka oleh jurugambar namun selepas dipujuk oleh Muhammad Hafiz, kedua-duanya kemudian meninggalkan ruang legar mahkamah.
Namun sebelum beredar, isteri bekas dekan itu dengan selamba menempelak pihak media dengan kata-kata 'pemberita kurang ajar'.
Muhammad Hafiz ketika memberi penjelasan selepas selesai prosiding memberitahu, Sri Wani dalam helaian kertas yang diserahkan kepadanya pada 28 April lalu, menyatakan permohonan faraq oleh suaminya tidak boleh diteruskan kerana beliau telah bercerai dan surat cerai telah diterima daripada Majlis Agama Narathiwat, Thailand.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Hafiz memaklumkan, dia telah menerima sepucuk surat tuntutan maaf dan ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada peguam Sri Wani.
Surat bertarikh 1 Mei itu dan diterimanya pada 15 Mei lalu mendakwa peguam syarie terbabit telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di akhbar tempatan yang turut disiarkan di laman web Youtube.
"Saya akan menjawab surat tuntutan ini. Tapi sebelum itu saya ingin nyatakan, saya tidak pernah memfitnahnya atau mana-mana pihak. Saya cuma memberikan ulasan atas prosiding mahkamah dan tiada satu tuduhan pun saya buat terhadap Sri Wani,'' jelasnya.
Ujarnya lagi, menurut surat itu, beliau diberi tempoh selama 14 hari untuk menjawab semua dakwaan terbabit.

No comments:

Post a Comment