SHAH ALAM - Rakaman visual perhimpunan Bersih 3.0, hanya akan disiarkan kepada umum selepas Panel Penasihat Bebas selesai meneliti keseluruhan rakaman yang telah diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, pihaknya akan mengambil kira setiap pandangan dan nasihat daripada Panel Penasihat Bebas yang akan mengadakan mesyuarat susulan mereka pada 11 Jun ini.
Panel itu mengadakan mesyuarat keduanya kelmarin.
Dalam kenyataan rasminya kepada media petang ini, beliau berkata, Panel Penasihat Bebas wajar diberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk membuat penilaian ke atas setiap rakaman tersebut.
Kelmarin, Panel Penasihat Bebas berkata, akan meneliti 43 klip video, durasinya 73 jam, yang disediakan oleh polis, menunjukkan kelakuan peserta Bersih 3.0 di sekitar Kuala Lumpur termasuk kemusnahan harta benda dalam perhimpunan pada 28 April lalu.
Pengerusinya, Tun Hanif Omar berkata, rakaman itu merangkumi semua aspek termasuk aspek membabitkan individu yang mengajak orang ramai untuk berhimpun pada hari berkenaan.
Menurutnya, rakaman yang dipertontonkan kepada ahli panel bermula sehari sebelum perhimpunan sehingga pada hari kejadian tersebut.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakaman visual tersebut sudah siap sepenuhnya dan telah disahkan sumbernya akan dimuat naik ke laman web kementerian pada Selasa iaitu semalam dan boleh dikuti mulai hari ini.
“Video Bersih 3.0 sudah siap dan boleh ditonton oleh masyarakat mulai pagi Rabu ini selepas ianya selesai proses muat naik yang akan dilakukan pada Selasa. Niat kita supaya masyarakat dapat lihat dan membuat penilaian serta rumusan dalam perspektif yang lebih luas. Sekarang kita terbuka supaya rakyat dapat buat rumusan berdasarkan fakta dan bukan pertimbangan sempit menjurus kepada perhitungan tertentu,” kata beliau.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment