Lapangan terbang Libya diambil semula
Kenderaan berisi meriam dibawa mengelilingi pesawat dan lapangan terbang.
TRIPOLI - Pihak berkuasa Libya berjaya merampas semula Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli dari tangan bekas pemberontak yang menduduki kawasan landasan sebagai respons terhadap dakwaan penahanan komander mereka, kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Omar Al-Khadrawi berkata, rampasan semula selama sehari itu berlaku selepas kuasa-kuasa kerajaan peralihan melakukan serangan susulan kegagalan rundingan bersama pejuang berhaluan kiri.

Katanya, operasi penerbangan dijangka tertunda sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam disebabkan oleh kerosakan infrastruktur lapangan terbang berkenaan.

Menurut pegawai kerajaan, kumpulan yang digelar Brigade al-Awfea dari bandar Tarhouna, Libya, didakwa mendesak pembebasan Kolonel Abu Ajila Al-Habshi yang hilang dua hari lalu dan tindakan menawan perkhidmatan penerbangan adalah gesaan terhadap kerajaan bagi mengetahui kedudukan lelaki itu.

Insiden rampasan itu, seorang petugas lapangan terbang cedera selepas terkena tembakan udara oleh pemberontak dan menimbulkan panik kepada pengunjung.