KOTA BHARU - Pas menyambut baik keterbukaan kerajaan membenarkan parti pembangkang menyiarkan manifesto parti masing-masing di stesen televisyen tempatan termasuk RTM semasa tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kebebasan tersebut memberi peluang kepada setiap parti di negara ini untuk menyuarakan pandangan menerusi manifesto di media sepanjang tempoh berkempen PRU13.
Menurutnya, sewajarnya kebebasan tersebut dapat dinikmati sejak dari dahulu lagi untuk membenarkan parti-parti pembangkang menyatakan hasrat yang diperjuangkan sejajar dengan Malaysia sebagai negara demokrasi.
“Saya merasakan ruang tersebut diberikan kerana selama ini kerajaan banyak menerima pelbagai desakan daripada pembangkang. Saya lebih daripada setuju dengan kebebasan itu,” katanya kepada media semalam.
Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Usaha sama antara Majlis Daerah Gua Musang dengan Syarikat True Impression Sdn Bhd di sebuah hotel di sini, hari ini.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut mempersoalkan kenapa dalam tempoh sekarang kerajaan memberikan akses tersebut, bagaimanapun beliau sangat bersetuju dengan tindakan berkenaan biarpun ditetapkan had waktu siarannya.
Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat jemaah menteri baru-baru ini dan itu juga diputuskan berikutan penubuhan jawatankuasa khas berhubung perkara itu di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, akses media yang bebas dan adil adalah salah satu daripada lapan tuntutan menerusi Bersih 3.0 pada 28 April lalu untuk memperjuangkan hak mendapatkan liputan mahupun penyebaran maklumat pada PRU13 nanti.
Projek di Bandar Lama Gua Musang itu membabitkan pelaburan kira-kira RM20 juta melibatkan pembinaan unit kedai, pejabat, rumah berkembar dan banglo yang dijangka siap dalam masa 18 bulan dan semalam pihak pemaju turut memberi wang pendahuluan sebanyak RM1 juta.
Hadir sama pada program itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengarah True Impression Sdn Bhd, Ir Rusnipa Wahi dan Ketua Jajahan Gua Musang, Mat Jusoh Husin.
No comments:
Post a Comment