Muhammad Faizal,
07 Jun 2012
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mendedahkan video 4 minit berhubung perbincangan agen Barisan Nasional (BN) yang dipercayai anggota NGO bersama wakil Ahli Parlimen Pakatan Rakyat khususnya PKR.
Menurut Khalid, kandungan video penuh selama 3 jam itu akan didedahkan pada Selasa depan bagi menunjukkan kepada rakyat Umno BN mengamalkan politik wang dan rasuah.
"Kita akan mendedahkan video penuh ini pada Selasa depan, jika sebelum ini Umno-BN menafikan penglibatan mereka dalam usaha pembelian MP, maka selepas ini mereka tidak dapat menafikannya.
"Pendedahan dilakukan sekarang adalah bersesuai dengan pilihanraya yang semakin hampir bagi memberi maklumat kepada rakyat untuk menilai tentang aktiviti Umno BN dalam kerja kotor mereka," jelasnya.
Menurutnya rakaman itu dilakukan beberapa tahun lepas tetapi sebelum itu telah ada MP dari PKR melompat iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.
"Dalam video ini melibatkan dua orang wakil yang bertindak mewakili seorang MP PKR dan juga dua agen dari BN manakala seorang lagi merupakan pemandu kepada agen tersebut.
"Setelah mengetahui aktiviti tersebut kita telah membuat perancangan untuk merakam rundingan tersebut tanpa pengetahuan dari mereka," jelasnya.
Ahli Parlimen PKR yang diwakili oleh oleh dua individu untuk berunding sehingga sekarang masih berada di dalam PKR.
No comments:
Post a Comment