Kadang, kita menjadikan berpuasa di bulan Ramadhan itu sebagai alasan apabila letih dan rasa tidak larat. Adakah memang kerana puasa itu menyebabkan kita hilang tenaga dan mengakibatkan cepat letih?
Zahirnya, memanglah bila kita berpuasa, meninggalkan makan minum pada waktu-waktu kebiasaan, kita rasa badan kita seperti tidak cukup tenaga kerana tidak dapat makan minum seperti biasa.
Tetapi, kalau puasa adalah penyebabnya, maka bagaimana mungkin kajian-kajian saintifik sendiri yang membuktikan bahawa puasa sebenarnya membentuk kekuatan dan kesihatan tubuh badan, bukanlah sebaliknya sepertimana yang kita biasanya katakan?
BADAN ATAU JIWA YANG LETIH SEBENARNYA?
Kalau kita meneliti kajian-kajian saintifik yang dilakukan terhadap orang yang berpuasa, kita akan dapati puasa itu antara kesannya adalah dapat membuang toksid-toksid di dalam badan kita. Bila badan kita bersih daripada toksid, maka sepatutnya kita menjadi lebih cergas atau lebih lembik?
Kadang, kita mengalami masalah cepat letih ketika berpuasa. Kalau berpuasa di tengah panas seperti di Jordan ini, lagilah bertambah kuat alasan untuk letih itu. Di Jordan, siangnya lebih panjang daripada malamnya. Bukan itu sahaja, Ramadhan pula berada di dalam musim panas. Jadi, pelajar Malaysia yang ada di sini selain harus bertarung dengan rasa letih, harus bertarung pula dengan kepanasan waktu siang.
Tetapi, apabila kita rasa letih itu, badan kita yang letih atau jiwa kita yang letih sebenarnya?
Kalau benar badan kita yang letih, maka bagaimana mungkin banyak peristiwa-peristiwa penting dalam Islam berlaku di dalam Ramadhan?
KEBANGKITAN DAN KEMENANGAN DI DALAM RAMADHAN
Puasa Ramadhan ini difardhukan pada tahun bulan Syaaban tahun kedua hijrah. Rasul s.a.w. dan para sahabatnya pula yang keluar untuk menahan kafilah Abu Sufyan terpaksa menghadapi perang Badar dengan pasukan tentera Quraisy dari Makkah pada bulan Ramadhan tahun yang sama.
Perang yang tidak dirancang ini walaupun terjadi di saat-saat akhir tanpa persediaan dan kelengkapan yang cukup, tetapi para sahabat tetap bersemangat mendokong Nabi s.a.w. untuk menentang tentera Quraisy. Bayangkan sahaja pada waktu itu, berperang ketika puasa Ramadhan, dalam keadaan yang panas, bilangan yang sedikit, tanpa kelengkapan perang yang cukup pula.
Tetapi bagaimana para sahabat r.a. tetap memiliki semangat yang tinggi untuk berperang sehingga mampu pula menang ke atas tentera Quraisy?
Nanti mungkin ada yang akan berkata, “Oh, ada malaikat tolong. Bolehla.”
Ya, memang ada malaikat yang membantu mereka. Tetapi malaikat turun membantu itupun ketika para sahabat Nabi s.a.w. sedang berusaha keras di medan perang. Bukanlah bila tahu malaikat turun, para sahabat Nabi s.a.w. duduk saja tanpa berbuat apa-apa.
Itulah peperangan pertama dalam Islam yang berlaku di dalam Ramadhan.
Selain perang Badar, peristiwa yang menyebabkan Islam semakin jauh berkembang adalah peristiwa Fathul Makkah (pembukaan Kota Makkah). Peristiwa ini pun berlaku pada bulan Ramadhan juga. Lihat bagaimana kekuatan yang dimiliki oleh para sahabat dan sahabiyah Nabi s.a.w. Inilah kekuatan yang dijana daripada keimanan mereka.
Mereka mampu berjalan dari Madinah ke Makkah dalam keadaan panas terik itu sehingga berjaya menawan semula Kota Makkah dan membersihkan Kaabah dan sekelilingnya daripada berhala-berhala yang selama ini disembah oleh orang Arab Quraisy. Jarak dari Madinah ke Makkah itu tidaklah dekat dan bukanlah ada bas ke, kapal terbang ke untuk ke sana pada waktu dulu.
Kalau ada kenderaan sekalipun, unta dan kudalah kenderaannya.
Peristiwa-peristiwa penting ini berlaku di dalam bulan Ramadhan. Ada banyak lagi peristiwa yang berlaku di dalam bulan Ramadhan. Yang lebih penting bukanlah untuk kita melihat peristiwa itu, tetapi melihat dan belajar bagaimana para sahabat boleh memiliki kekuatan yang hebat sehingga sedemikian rupa?
Dalam Ramadhan, di bawah panas terik pula, tetapi mampu melakukan suatu yang luar biasa.
Maka, kita, di manakah diri kita?
SEPATUTNYA BUKAN ALASAN
Kalau dibandingkan diri kita dengan para sahabat Nabi s.a.w. itu, terasa kita ini dengan mereka begitu jauh sekali. Mereka menyambut Ramadhan dalam keadaan penuh bertenaga.
Jiwa mereka bertenaga, iman mereka bertenaga dan tubuh mereka juga bertenaga.
Mereka mampu melakukan sesuatu yang kita rasa kalau kitalah berada di tempat mereka, belum tentu kita dapat melakukan apa yang mereka lakukan.
Bagaimana mereka boleh menjadi sekuat dan sehebat itu di dalam Ramadhan?
Adakah hanya kerana mereka itu sahabat Nabi, maka mereka jadi kuat? Tidak. Tidak sekali-kali. Mereka kuat kerana usaha mereka, kerana iman yang ada di jiwa mereka.
Ramadhan bagi mereka umpama charger untuk perbaiki dan tingkatkan lagi kekuatan mereka. Ia bukanlah alasan untuk mereka menjadi letih dan lemah sehingga mengurangkan produktiviti kerja mereka.
Kita ini sudah cukup baiklah dibandingkan dengan sahabat-sahabat Nabi. Cuba kita perhatikan sirah, Nabi s.a.w. sendiri dan para sahabat, apakah makanan sahur mereka dan apakah pula makanan berbuka puasa mereka?
Kadang-kadang hanya tamar dan segelas air atau susu. Kita, nasi ayam ada, kuih itu kuih ini, tak kira lagi airnya. Air milo ada, air teh dan macam-macam jenis air lagi ada. Makan sahur dan berbuka kita sudah lebih baik daripada mereka, maka kenapa puasa kita tidak mampu menjadi baik seperti puasa mereka?
Muhasabah diri kita. Sepatutnya Ramadhan bukanlah alasan untuk produktiviti kita semakin menurun dan hendak duduk rehat saja tanpa berbuat apa-apa. Sepatutnya, Ramadhan adalah bulan untuk kita menjadi lebih produktif dengan melakukan lebih banyak kebaikan kerana nafsu kita telah berkurang dan melemah, syaitan dan iblis pula telah dirantai. Maka, kita sepatutnya nampak bahawa dorongan-dorongan untuk melakukan kebaikan itu sangat besar berbanding keburukan, alangkah ruginya kalau kita lebih senang duduk rehat saja tanpa meningkatkan amal dan memperbaiki diri.
PENUTUP : INI BULAN KEBANGKITAN, MAKA BANGKITLAH !
Ramadhan hanya sekali sahaja setahun. Bila Allah beri kepada kita Ramadhan tahun ini, maka gunakanlah sebaiknya. Tahun depan, belum tentu ada lagi Ramadhan untuk kita.
Biarlah di Ramadhan ini, kita habis-habisan mengutip segala mutiara-mutiara yang Allah curahkan di dalamnya. Biar dengan habis-habisan kita itu, kita ada bekal untuk bertempur dengan musuh nyata kita untuk 11 bulan seterusnya. Dan dengan bekal itulah juga, kita pulang menghadap Allah s.w.t.
“Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu adalah orang-orang yang bertaqwa.” [Al-hujurat]
Kalau anda merasa letih dan lemah, renunglah semula perjalanan sirah Nabi s.a.w. dan para sahabat. Apakah ada alasan untuk kita menjadi lemah ketikamana para sahabat bertungkus-lumus memperjuangkan Islam di dalam Ramadhan agar hari ini kita ada kesempatan untuk berpuasa seperti mereka juga?
Tidak. Sepatutnya tidak ada.
Kalau mereka mampu menjadi kuat seperti itu, maka kita pun mampu juga sebenarnya.
Latihlah diri kita, bergerak dan lakukanlah sesuatu di dalam Ramadhan. Jangan biarkan sesaat pun kosong tanpa pengisian. Semoga dengan apa yang kita lakukan mampu mendidik iman kita dan recharge semula hubungan kita dengan Allah.
Janganlah biarkan diri kita di tahap yang sama sepertimana sebelum kita berpuasa. Rugilah kita.
Ini adalah bulan kebangkitan, maka bangkitlah !
No comments:
Post a Comment