Wednesday, July 25, 2012

Duta Syria ke Iraq berpaling menentang rejim Assad



DAMSYIK - Duta Syria ke Iraq, Nawaf Fares merupakan pegawai berprofil tinggi kedua yang menyokong secara terus kepada pihak pemberontak semalam.

Ia sekali gus memberikan sokongan moral kepada Mujahidin yang kini berjuang untuk menjatuhkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad.

Nawaf yang merupakan seorang pengikut Sunah dan anggota Parti Baath yang memerintah pernah memegang beberapa jawatan utama di bawah pemerintahan bapa Bashar, Hafez Al-Assad sebelum dilantik sebagai Duta ke Iraq pada tahun 2008.

Beliau berasal dari Deir Al-Zour, sebuah wilayah yang bersempadan dengan Iraq di timur Syria.

Wilayah berkenaan menjadi lokasi pertempuran sengit antara tentera pemerintah dan para Mujahidin sejak rakyat Syria bangkit menjatuhkan rejim Bashar 16 bulan lalu.

Sebelum ini, seorang pegawai tinggi Pengawal Republikan, Brigedier Jeneral Manaf Tlass yang merupakan rakan peribadi Bashar belot dan melarikan diri melalui Turki pada minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera rejim Bashar membedil kampung Treimsa di wilayah Hama, tengah Syria semalam, kata beberapa pemerhati dan aktivis manakala lapan orang terbunuh di seluruh negara berkenaan.

"Tentera rejim membedil kampung Treimsa di Hama dengan menggunakan sejumlah kereta kebal dan helikopter," kata badan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia.

Menurutnya, sekurang-kurangnya seorang maut dan sejumlah lagi cedera dalam serangan tersebut dengan sebahagian daripada mereka parah.

"Sebuah sekolah di kampung itu musnah sama sekali akibat bedilan meriam," kata seorang aktivis di Hama yang menamakan dirinya sebagai Abu Ghazi kepada agensi berita AFP menerusi panggilan internet, Skype.

"Bedilan bermula pada pukul 6 pagi waktu Syria dengan kekuatan besar-besaran dihantar ke sekitar kampung ini. Kini, keseluruhan Treimsa dikepung," tambah aktivis berkenaan.

Badan pemerhati itu mengesahkan lapan kematian dengan lima orang awam dan tiga pemberontak berlaku di seluruh Syria termasuk seorang penduduk awam yang maut di Treimsa.

Kelmarin, seramai 85 orang terkorban termasuk 37 orang awam, 34 askar dan 14 pemberontak bersenjata.

"Antara anggota tentera yang maut termasuk enam askar yang dibunuh di wilayah Damsyik apabila mereka cuba belot," kata badan itu.

Menurut perangkaan badan pemerhati tersebut, lebih 17,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat Syria menentang Bashar bermula pada pertengahan Mac lalu.

Perkembangan itu berlaku selepas tentera pemerintah di Syria didakwa menjadikan wanita sebagai sasaran rogol dan serangan ketika pertempuran di negara itu terus memuncak.

Pertubuhan hak asasi manusia, Women Under Siege menyatakan pihaknya merekodkan 81 insiden serangan seks di Syria sejak demonstrasi antipemerintah bermula pada Mac 2011 dengan kebanyakan kes berlaku di bandar Homs.

Bandar berkenaan merupakan kubu kuat Mujahidin dan berulang kali menjadi sasaran serangan tentera pemerintah.

Pengarah pertubuhan itu, Lauren Wolfe berkata, jelas berdasarkan sebilangan laporan oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia, kenyataan saksi dan media bahawa perbuatan menyerang dan memperkosa wanita secara bergilir-gilir dilakukan sebagai taktik perang.

Dalam pada itu di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, wakil Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat sepakat menyerahkan satu teks draf yang memberikan masa 10 hari kepada Bashar untuk melaksanakan pelan gencatan senjata anjuran PBB/Liga Arab atau berdepan ancaman sekatan ketat yang baharu. - Agensi

No comments:

Post a Comment