Derita gangren kaki, tangan
Keadaan kesemua jari kaki serta tangan Yusoff yang mengalami gangren (sel darah mati).
MARANG – "36 hari lalu saya normal, tapi selepas keluar dari kawasan hutan di Bukit Gondang, hidup saya berubah sama sekali. Ketika ini saya sungguh menderita dan hanya mampu berbaring tanpa dapat berbuat apa-apa."

Demikian luahan Yusoff Mat Ali, 38, anak kelima dari pada lapan beradik yang mulanya hanya mengalami batuk dan sakit pinggang, sehari selepas keluar dari kawasan hutan itu.

Bagaimanapun dia kemudiannya jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri (koma), selama kira-kira 14 hari.

“Saya memasuki kawasan itu bagi mencari daun lerek untuk dijadikan pembalut ketupat, dua minggu sebelum hari raya. Sehari selepas itu, saya mengalami batuk dan sakit pinggang tetapi anggap ia biasa sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, selepas tempoh 24 jam mengalami batuk dan sakit pinggang, dia kemudiannya jatuh pengsan di rumahnya di Sena Rendang di sini, lalu dibawa ahli keluarga ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan.

Yusoff kemudiannya di tempatkan di wad kecemasan hospital itu dan koma selama kira-kira 14 hari.

Dalam tempoh itu juga, kedua-dua kaki dan tangan termasuk kesemua jarinya mula mengalami gangren (sel darah mati).

Disebabkan keadaannya agak serius, Yusoff melalui ahli keluarga dinasihati agar menjalani pembedahan memotong bahagian mengalami gangren bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk, namun permintaan doktor pakar itu ditolak ahli keluarganya.

Tidak dapat terima hakikat jika kedua kaki dan tangan dipotong

Selepas 21 hari berada di hospital, Yusoff dibawa pulang atas permintaan keluarganya dan dia kemudiannya dibawa pulang ke rumah kakaknya, Masitah Mat Ali, 47, bagi memudahkan urusan penjagaan.

Ketika ditemui di rumah kakaknya di Sena Rendang, Yusoff akui dia tidak dapat menerima hakikat jika kedua-dua kaki dan tangannya dipotong, akibat penyakit tidak diketahui puncanya itu kerana berhasrat merawatnya secara tradisional dahulu.

“Saya sendiri tidak tahu apa penyakit yang menyerang saya. Jadi, saya tanya ahli keluarga untuk mendapatkan maklumat tentangnya dan berdasarkan maklumat, saya dikatakan mengalami gangren, dipercayai kesan akibat virus kencing tikus (leptospirosis).

"Saya pasrah dengan ketentuan ILAHI. Walaupun awalnya merasa sukar untuk menerima hakikat, saya tetap yakin ada hikmah tersembunyi. Malah semangat diberikan ahli keluarga kini menjadi dorongan untuk saya meneruskan kehidupan.

“Sekurang-kurangnya saya masih dianugerahkan nyawa untuk terus bernafas dan insya-ALLAH saya mungkin akan dapat berbakti semula seperti sedia kala di atas muka bumi ini selepas penyakit ini pulih,” katanya yang masih belum mendirikan rumah tangga.

Tidak berhenti berharap

Walaupun kini pergerakannya tidak lagi seperti dulu dan hanya mampu berbaring, Yusof tidak mahu menjadikan ia penghalang untuk terus berharap dan kini turut menjalani rawatan khas di klinik swasta dengan kos sebanyak RM450 sekali rawatan.

“Saya yakin ketentuan ALLAH SWT itu ada sebabnya.

"Mungkin keadaan ini boleh berubah dan ia akan beransur pulih dengan semangat dan harapan yang ada tambah pula dengan sokongan ahli keluarga yang tidak berputus asa membantu,” katanya,

Difahamkan kes seperti Yusoff jarang berlaku di negeri malah negara ini.

Namun perkembangan ini perlu diberikan perhatian khususnya kepada mereka yang sering memasuki kawasan hutan kerana musibah itu tidak mengira siapa dan bila.

Bagi yang ingin membantu Yusoff mereka boleh menghubungi keluarga itu melalui kakaknya, Siti Norliha Md Ali, 42, di talian 019 929 6022.

Kelmarin, Yusof juga menerima bantuan segera Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500.