Filem hina Islam: Pembela, 15 NGO protes AS
Bantahan secara aman di hadapan Kedutaan AS mengecam tindakan menghasilkan filem yang menghina Nabi Muhammad SAW selepas sembahyang Jumaat. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Gabungan Pembela Islam (Pembela) dan 15 badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, hari ini.

Bantahan yang diketuai oleh Pengerusi Gabungan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya itu turut disertai kira-kira 30 penyokong mereka.

Aminuddin menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan AS selepas berarak dari Menara Tabung Haji ke Kedutan AS yang terletak di Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat.

"Kami sudah menyerahkan memorandum bantahan terhadap filem menghina Nabi Muhammad yang telah disiarkan menerusi Youtube.

"Penghinaan seumpama ini tidak seharusnya berlaku memandangkan kerajaan AS sedang dalam tempoh memperingati peristiwa 11 September," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Kedutaan AS.

Katanya, "masa keamanan ini bukan masa untuk membuat provokasi terhadap mana-mana agama."

Beliau menggesa agar kerajaan AS mengambil tindakan dan menghentikan segera pengedaran filem tersebut.

Aminuddin juga tidak menolak kemungkinan sesetengah pihak yang kurang sabar terhadap perkara ini akan melakukan perbuatan yang di luar jangkaan jika kerajaan AS tidak mengambil sebarang tindakan.

"Saya menyeru umat Islam di seluruh dunia dan di negara ini untuk bangkit menyatakan bantahan kerana jika kita diam, saya yakin mereka akan meneruskan provokasi seperti ini.

"Bergerak dengan keamanan. Kita bukan agresif seperti yang digambarkan, kita juga bukan pencetus kekecohan tetapi cintakan keamanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata, pihaknya sudah memberi tempoh lima minit kepada kumpulan tersebut untuk menyerahkan memorandum bantahan.

"Kami beri lima minit untuk serahkan memorandum tersebut dan beredar. Semuanya aman," katanya.