Bas PKR disimbah cat lagi, kali ke-3
Bahagian belakang kanan bas PKR disimbah dengan cat merah di kawasan Masjid Jamek Tangkak, hari ini. – Foto ihsan blog Anwar
SHAH ALAM - Bas PKR yang digunakan dalam program Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat merah hari ini - kali ketiga sejak 1 September lalu.
Kali ini insiden itu dilaporkan terjadi di depan Masjid Jamek Tangkak selepas solat Jumaat.

"Bas #MerdekaRakyat disimbah cat di Masjid Jamek Tangkak," kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Twitter sekitar 2.15 petang tadi.
Bas itu dalam perjalanan dari ibu negara ke Johor.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi juga mengesahkan insiden itu.
Dalam pada itu, Setiausaha AMK, Junaidi Jumaidi berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 2 petang.
"Bas ini diletakkan di pekarangan masjid dan ketika kami masih berada dalam masjid, kedengaran kuat macam ada benda dibaling," katanya.
Pemeriksaan mendapati sebuah tin cat dibaling ke arah bas.
"Nombor pendaftaran motosikal yang digunakan oleh lelaki yang membaling cat dapat dicam.
"Anggota polis yang berada di kawasan kejadian juga cuba mengejar lelaki yang menaiki motosikal... sama ada dapat tangkap atau tidak belum pasti, tetapi mereka ada cuba membantu," katanya.
Bas itu dalam perjalanan ke Ledang untuk mengadakan program Jelajah Merdeka Rakyat.
Junaidi berkata, "kali ini kerjasama polis adalah baik. Mereka juga mengiringi bas ke Muar, apabila ada pihak cuba mengganggu kami."
Bas itu telah disimbah cat dan dipecahkan cermin di Kota Bharu awal bulan ini dan minggu lalu di Jasin, Melaka.