YouTube: Klip kontroversi kekal, disekat di Libya dan Mesir
Pejabat Konsul Amerika Syarikat di Benghazi, Libya terbakar dalam serangan Selasa lalu. - Foto ihsan CNN
WASHINGTON - YouTube mengambil langkah menyekat akses buat sementara waktu kepada klip kontroversi yang mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara termasuk Libya, yang turut menyaksikan Duta Amerika Syarikat (AS) terbunuh.

Dalam kenyataan dibawa CNN, YouTube berkata, treler 13 minit yang menyinggung perasaan umat Islam tidak boleh akses menerusi YouTube di Libya dan Mesir buat sementara waktu.

"Kami bekerja keras untuk mewujudkan satu komuniti di mana setiap orang boleh menikmati dan yang membolehkan setiap orang melahirkan pandangan yang berbeza," kata YouTube menerusi e-mel kepada CNN.
Sekurang-kurangnya sembilan orang telah dilaporkan maut dalam serangan dan protes setakat ini termasuk empat warga AS.
"Ini satu cabaran kerana apa yang OK di sesebuah negara, adalah sebaliknya di negara lain," kata firma itu.

"Video ini, yang boleh didapati dengan meluas di Web, diadakan mengikut garis panduan kami dan akan kekal di YouTube.

"Bagaimanapun, melihat kepada situasi sukar di Libya dan Mesir, kami sekat buat sementara di kedua-dua negara," kata YouTube lagi.

Laporan menyebut Afghanistan telah mengharamkan akses kepada YouTube ekoran kemunculan trailer itu.

"Kami telah diminta menutup YouTube daripada diakses oleh publik Afghan hingga video itu dikeluarkan," kata Aimal Marjan dari Kementerian Penerangan dan Teknologi dipetik Reuters.
Garis panduan YouTube mengharamkan penggunaan ruang itu untuk muat naik bahan-bahan lucah dan grafik atau elemen-elemen ganas yang tidak sewajarnya, dan mahu mereka yang memuat naik video menghormati undang-undang hak cipta.
Mengenai ucapan-ucapan kontroversial, YouTube berkata, "kami menggalakkan kebebasan berucap dan mempertahankan hak setiap orang untuk melahirkan pandangan-pandangan tidak popular."
"Bagaimanapun kami tidak menggalakkan ucapan mencetuskan kebencian," katanya.
Misteri siapakah pengarah filem anti- Islam Innocence of Muslims yang mencetuskan rusuhan di sekitar Mesir dan Libya masih menjadi tanda tanya
Filem yang membuat penggambaran di Amerika itu dan sudah memulakan tayangannya di panggung-panggung berskala kecil di Hollywood pada Jun lalu.
Sebelum ini, judul asal bagi filem itu dipercayai The Innocence of Bin Laden dan diarah serta skripnya ditulis oleh Sam Bacile, 52, dipercayai seorang ejen hartanah berbangsa Mesir yang menetap di AS.

Dia turut menyatakan telah memperolehi dana sebanyak AS$5 juta (RM15 juta) untuk membikin filem itu daripada 100 orang bangsa Yahudi lain.