Baharudin
Foto fail menunjukkan saudara Baharudin menunjukkan gambar Allahyarham ketika inkues. - Foto ihsan Malaysian Insider
KUALA LUMPUR - Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian pemandu teksi Baharudin Ahmad yang meninggal dunia ketika menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas adalah akibat sebab-sebab semula jadi.

Koroner Zulkpli Abdullah dalam penghakimannya berkata tiada keterangan yang menunjukkan berlaku kekerasan atau kecuaian dari mana-mana pihak yang menyumbang kepada kematian Baharudin, 59 tahun.

Inkues yang bermula pada 30 Jan dan berakhir 18 Julai lepas menyaksikan 35 saksi memberi keterangan termasuk bekas Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh dan Pakar Patologi Forensik Dr Khairul Anuar Zainun.

Inkues bagi menyiasat kematian Baharudin itu dibantu Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh, Ahmad Ishrakh Saad, Henry Tan dan Mohamed Shah Reza Noor Azman manakala keluarga Allahyarham diwakili peguam Ahmad Jufliz Faiza dan Patrick Das. - Bernama