Wednesday, September 19, 2012

Iran cadang pemerhati serantau di Syria

Iran cadang pemerhati serantau di Syria
Tiga daripada empat menteri luar yang bertemu untuk pertama kali bagi sesi dialog berhubung konflik di Syria yang diadakan di Kaherah, Mesir, kelmarin
Iran cadang pemerhati serantau di Syria
Salehi - Foto AP
TEHERAN - Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi menyuarakan cadangan beliau kepada Arab Saudi, Turki dan Mesir untuk menghantar pemerhati serantau ke Syria sebagai usaha untuk meredakan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu, menurut laporan media, semalam.

Agensi berita IRNA melaporkan cadangan tersebut dikemukakan semasa mesyuarat peringkat tertinggi disertai menteri-menteri luar mewakili empat negara di rantau Arab yang diadakan di Kaherah pada Isnin lalu.

Menurut Salehi, pemantau dari keempat-empat negara itu boleh menjadi pemerhati kepada proses untuk menghentikan keganasan di Syria selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menamatkan misi mereka pada bulan lalu.

Difahamkan, misi pemerhati itu dihentikan susulan daripada kegagalan pelaksanaan gencatan senjata di negara bergolak terbabit.

Beliau juga mencadangkan rundingan damai diadakan untuk membantu proses pembaharuan asas dan pendekatan demokratik di negara sekutu kuat Iran itu.

Sehingga kini, Iran tetap menegaskan pendirian mereka untuk menyokong pemerintahan rejim Presiden Bashar al-Assad walaupun tiga negara dalam kumpulan hubungan itu menggesa pemimpin tersebut berundur demi keamanan di Syria.

Sebelum ini, Iran juga didakwa hampir mencetuskan sengketa selepas negara itu dengan lantang menuduh Turki dan Arab Saudi membekalkan kemudahan tentera kepada kumpulan pemberontak di Syria. - AP

No comments:

Post a Comment