Wednesday, September 19, 2012

Thailand dedah hasil siasatan



BANGKOK 18 Sept. - Suruhanjaya Kebenaran bagi Perdamaian (TRC), semalam secara rasminya menyiarkan keputusan penyiasatannya selama dua tahun berhubung tunjuk perasaan anti-kerajaan yang berlaku pada 2010.
Bangkok Post melaporkan, siasatan tersebut memutuskan bahawa kedua-dua pihak iaitu kumpulan baju merah dan tentera bertanggungjawab ke atas keganasan yang berlaku semasa tunjuk perasaan itu sehingga menyebabkan 92 orang terbunuh.
Pengerusi jawatankuasa kecil penyiasatan TRC, Somchai Homla juga mendedahkan peranan dalang di sebalik kejadian berdarah itu, dengan mengesahkan kaitan mereka dengan pemimpin baju merah, Mejar Jeneral Khattiya Sawatdiphol, yang dikenali sebagai Seh Daeng dan pengawal keselamatan penunjuk perasaan.
"Siasatan ini boleh dianggap paling boleh dipercayai berhubung kejadian yang berlaku, walaupun sebenarnya lebih banyak fakta boleh ditemui seandainya kuasa suruhanjaya tidak dihadkan," katanya pada sidang media di sini.
Laporan setebal 400 muka surat itu didedahkan bagi melengkapkan siasatan selama dua tahun TRC, yang mana pengerusinya dilantik oleh bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva.
Sidang media tersebut dihadiri beberapa duta termasuk dari Australia dan Switzerland, serta diplomat asing, anggota pertubuhan hak asasi serta anggota kumpulan baju merah dan baju kuning.
Somchai berkata, penyiasatan itu turut memutuskan bahawa keganasan tersebut tercetus kesan daripada beberapa siri konflik yang berlaku sejak pemerintahan Thaksin Shinawatra, rampasan kuasa pada 2006 dan protes anti-kerajaan di Pattaya dan Din Daeng ketika Pesta Songkran pada 2009. - AGENSI

No comments:

Post a Comment