Monday, October 22, 2012

8 maut letupan kereta di Beirut



Anggota keselamatan Lebanon dan pekerja penyelamat memeriksa lokasi kejadian letupan di daerah Ashrafieh, Beirut, Lebanon, kelmarin. - AFP
BEIRUT 20 Okt. - Satu letupan bom kereta di sini semalam, mengorbankan lapan orang termasuk seorang pegawai risikan kanan yang bertanggungjawab dalam siasatan pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri.
Kematian Ketua Perisikan Keselamatan Dalam Negeri, Jeneral Wissam al-Hassan itu merupakan satu lagi pembunuhan berprofil tinggi selepas kematian Hariri pada 2005.
Menteri Penerangan, Walid Daouk berkata, kejadian bom pada waktu puncak di daerah Ashrafieh, yang didominasi penganut Kristian itu turut mengakibatkan 86 lagi cedera.
Hassan, seorang pengikut Sunah, sebelum ini mengepalai siasatan terhadap Syria dan Hezbollah berhubung kematian Hariri.
Beliau turut berjaya merungkai komplot bom yang menyebabkan penahanan dan pendakwaan bekas Menteri Penerangan Lebanon, Michel Samaha, yang pro-Presiden Syria, Bashar al-Assad, Ogos lalu.
Serangan tersebut dianggap paling dahsyat berlaku di ibu negara sejak pembunuhan Hariri dan mengundang tunjuk perasaan di beberapa jalan utama di seluruh negara oleh pengikut Sunah.
Anak kepada Hariri, Saad, yang juga pemimpin pembangkang Lebanon, menuduh Assad bertanggungjawab terhadap serangan bom tersebut.
Beberapa parti pembangkang Lebanon turut mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Najib Mikati termasuk beberapa menteri daripada Hezbollah meletakkan jawatan berikutan kejadian berkenaan.
"Mikati patut bertanggungjawab terhadap kematian Hassan dan mereka yang tidak bersalah," kata Setiausaha Agung Pergerakan Masa Depan, Ahmad Hariri.
Mikati dalam reaksinya berkata, beliau telah menawarkan diri untuk meletak jawatan, namun diminta Presiden Michel Suleiman untuk kekal bagi 'tempoh tertentu'.
Sementara itu, Ketua Keselamatan Dalam Negeri Lebanon, Mejar Jeneral Ashraf Rifi mendakwa kematian Hassan sebagai 'satu tamparan hebat' dan memberi amaran mengenai kemungkinan serangan berikutnya.
Kabinet dalam pada itu turut mengadakan satu sidang tergempar bagi membincangkan kesan sampingan serangan terbabit. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121021/lu_01/8-maut-letupan-kereta-di-Beirut#ixzz2A2Q0ah9B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment