Monday, October 22, 2012

Wartawan diserang lepas buat liputan di Dataran Tahrir

KAHERAH: Koresponden rangkaian televisyen France 24, diserang berhampiran Dataran Tahrir di sini selepas dikepung oleh orang ramai, semalam.
Saluran televisyen itu, dalam satu kenyataan berkata, Sonia Dridi diserang jam 10.30 malam selepas membuat laporan secara langsung mengenai tunjuk perasaan di dataran itu.
Dia bagaimanapun diselamatkan oleh seorang rakan dan beberapa penduduk.

Ia adalah kejadian keganasan terbaru terhadap wanita di pusat tunjuk perasaan Mesir itu.


France 24 tidak memberi butir lanjut mengenai serangan berkenaan tetapi berkata, kakitangannya selamat meskipun amat terkejut dan akan menyaman penyerang yang tidak dinamakannya.

Rangkaian berkenaan yang dibiayai kerajaan Perancis tetapi bebas dalam membuat laporan berkata, ia dan Kedutaan Perancis berusaha untuk membawa pulang Sonia.

“Lebih takut daripada cedera,” kata wartawan itu pada laman Twitternya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada rakannya, Ashraf Khalil kerana melindunginya.

Ashraf yang bekerja untuk perkhidmatan bahasa Inggeris rangkaian sama berkata, orang ramai mengerumuni dia dan Sonia ketika mereka membuat laporan secara langsung di jalan raya berhampiran Dataran Tahrir.

Menurutnya, serangan dan usaha menyelamatkan diri itu berlaku kira-kira setengah jam tetapi dia merasakan ia begitu lama.

“Orang ramai mengerumuni Sonia dan keadaan bertambah tegang. Saya memeluknya dengan kedua-dua tangan dan muka kami bertemu. Kira-kira 30 lelaki terbabit dalam serangan itu,” kata Ashraf.

Menurutnya, mereka berundur dengan memasuki sebuah restoran makanan segera yang memiliki pintu besi bagi menyelamatkan Sonia daripada penyerang.

Mereka kemudian bergegas menaiki sebuah kereta sementara beberapa lelaki menumbuk kenderaan berkenaan.

Sebahagian barangan mereka dicuri, katanya. - DM

No comments:

Post a Comment