Monday, October 22, 2012

Pemberontak tingkatkan serangan di Tak Bai



BANGKOK 21 Okt. - Pemberontak meningkatkan serangan di Tak Bai dengan melancarkan lima serangan malam tadi dipercayai sempena memperingati insiden Tak Bai lapan tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Narathiwat Kol Kerisada Keawjandi berkata kira-kira 20 pemberontak bersenjata menyerang pondok rondaan Polis Marin di Pengkalan Kubur, Tak Bai, pada 8 malam, mengakibatkan seorang anggota polis cedera.
"Mereka malah melempar dua butir bom ke arah bot polis marin tetapi mujurlah bom itu tidak aktif," katanya.
Dalam insiden berasingan, seorang pemberontak terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera di pekan Tak Bai malam tadi, katanya.
Beliau berkata bom itu diledakkan di kedai serbaneka di Tak Bai yang mengakibatkan sebahagian dari kedai itu terbakar.
Dua pekerja cedera apabila sebutir bom 10kg meledak di hadapan sebuah pusat hiburan di Tak Bai malam tadi.
Katanya sebutir bom 20kg bom diledakkan di tempat parkir kereta di sebuah hotel di Tak Bai dan memusnahkan sebahagian dari hotel itu. Tiada kecederaan dilaporkan.
Polis dan tentera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Tak Bai berikutan jangkaan serangan ekoran insiden Tak Bai pada 25 Oktober 2004.
Dalam insiden itu, 85 orang yang ditahan semasa mengadakan demonstrasi di luar balai polis daerah Tak Bai di Narathiwat, meninggal dunia ketika sedang dalam perjalanan ke pangkalan tentera di Nong Chik, Pattani. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121021/lu_10/Pemberontak-tingkatkan-serangan-di-Tak-Bai#ixzz2A2PsGEvD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment