Monday, October 22, 2012

Iktibar daripada pembebas Palestin



Akademi Tarbiyah DPPM,05 Okt 2012
Pada tahun 636 M seramai 41 ribu tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al- Walid, berjaya menewaskan 70 ribu tentera Rom. Kekalahan tentera Rom pada waktu itu yang dikenali dalam perang Yarmouk, telah membuka peluang kepada umat Islam menguasai Baitul Maqdis.

Kerajaan Rom ingin menamatkan penjajahan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota al-Quds kepada umat Islam. Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang uskup gereja di al-Quds berkeras dan enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam kecuali Amirul Mukminin, Umar Al Khattab datang sendiri menemui rakyat Illiya’ dan mengambil kunci daripada tangannya sendiri. Di sinilah hikayat agung pembukaan Kota al-Quds yang diukir Sahabat Rasulullah SAW yang digelar al-Faruq, Umar al-Khattab.
Setelah bermesyuarat, Umar pun berangkat dari Madinah ke Palestin dengan hanya menaiki seekor unta dan ditemani oleh seorang khadamnya sahaja.

Menurut riwayat, Umar dan khadamnya bergilir-gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya yang akan memandu pedati unta tersebut. Mana kala jika khadamnya naik unta, Umar pula yang akan berjalan menjadi pemandu permusafiran itu. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga tiba di Kota al-Quds.

Apabila Kota al-Quds semakin dekat, khadamnya memesan agar Umar terus mengambil kedudukan di atas pelana unta, sementara dia yang akan memandu unta tersebut. Tetapi Umar melarang dan mengarahkannya agar terus mengikut tempoh gantian yang telah disyaratkan sejak berada di Madinah. Dan kebetulan saat mereka berdua hampir ke gerbang Kota al-Quds, adalah giliran Umar memandu unta tersebut. Saat itu rakyat Illiya’ yang majoritinya beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah.

Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan diraja, permaisuri dan gundik-gundik yang sudah menjadi kemestian mereka. Tetapi Umar sebagai khalifah Islam, yang berjaya mengurus tenteranya menundukkan Rom, datang dengan baju yang lusuh dan bertampal, manakala kedua-dua kakinya dipenuhi debu pasir.

Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat kerendahan Umar sekalipun kuasa pemerintahan terbuka luas di tangannya. Mereka semua mengandaikan Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat reputasi kerajaan dan namanya, sebaliknya Umar hanya ditemani oleh seorang khadam dan unta yang dipandunya Umar sendiri.

Mereka merasakan perbezaan yang sangat ketara antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menakluk Jerusalem sebelum ini. Lalu seluruh rakyat Iliya’ di Kota al-Quds itu memberikan penghormatan kepada Umar sambil menundukkan kepala. Kemudian Umar berteriak keras, “Angkat kepala kalian sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala (sujud) seperti ini kecuali kepada Tuhan.”

Terpegun Sophronius melihat kesederhanaan Khalifah, lalu dia berkata, ”Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas.”
Khalifah Umar kemudiannya menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi daripada Sophronius. Kemudian Umar mengikat jaminan aman kepada penganut Kristian Iliya’ yang ingin tetap tinggal di Jerusalem.

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Inilah perdamaian yang diberikan oleh hamba Allah Umar, Pemimpin Negara Islam kepada rakyat Iliya'. Islam menjamin keamanan rakyat Iliya’, keselamatan harta benda , gereja-gereja, salib-salib, mereka yang sakit mahupun yang sihat dan seluruh keyakinan aliran agama mereka. Tidak boleh mencerobohi gereja mereka mahupun memusnahkan, mengurangi (melakukan rampasan) mahupun menghilangkan sama sekali…”

Genap 10 hari Saidina Umar bersama tentera-tentera Islam yang kemudiannya masuk ke Kota al-Quds dengan aman. Kejayaan tersebut diraikan dengan doa kesyukuran kepada Allah Taala. Sewaktu berdoa, Umar tiba-tiba menangis.

Lalu salah seorang bertanya kepada Umar, “Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?”

“Iya, aku menangisi kemenangan ini. Aku teringatkan Baginda Nabi SAW pernah bersabda; “Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada kalian sebagaimana diperoleh oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan.” (Sahih Muslim)

Setelah itu, Umar kembali bersama khadamnya menuju semula ke Madinah. Datang dan perginya Khalifah Umar, hanya berperawakan seperti musafir biasa dan rakyat jelata. Inilah sifat peribadi tokoh yang mampu membebaskan Palestin, mereka adalah orang yang zuhud (memanfaatkan dunia seadanya, tidak melampau atau berlebih-lebihan) dalam semua perkara.

Kisah Sultan Salahuddin Al Ayyubi

“…This is what the Lord Almighty says, ‘I will punish the Amalekites for what they did to Israel when they waylaid them as they came up from Egypt. Now go, attack the Amalekites anda totally destroy everything that belongs to them. Do not spare them; put to death men and women, children an infants, cattle and sheep, camels and donkeys’.” – Samuel I 15:3, International Version

Petikan itu adalah paragraf Bible yang diimani para tentera Salibiyyah ketika melumatkan penduduk Islam di Palestin pada 7 Jun 1099 M (493 H). Amalekites ataupun disebut ‘Amlaaq’ di dalam bahasa Arab, disifatkan sebagai golongan anti-Semitism. Mereka yang menanggung gelaran itu berhak dirampas haknya, dirosakkan bangunan dan penginapannya serta segala harta milik kaum Muslimin terutamanya dihancurkan, tidak kira sama ada mereka itu lelaki, wanita, kanak-kanak mahupun warga emas. Semuanya dibelasah, dibantai dengan jiwa rakus penuh kekejaman.

Ketika perang Salibiyah berlaku pada tahun tersebut, diangggarkan 40 ribu kaum Muslimin yang terbunuh, dan dengan megah Godfrey of Bouillon menegakkan Ordo Sion di bumi Palestin. Peranan yang dimainkan Godfrey telah berhasil mengangkat adiknya, Baldwin I sebagai Raja Jerusalem pertama setelah rampasan kota suci tersebut dari tangan Muslim. Berita kemenangan Godfrey itu dikhabarkan sehingga mereka terpaksa merenangi lautan darah apabila deretan gelumang mayat umat Islam dibunuh setinggi kaki kuda.

Keserakahan Salibiyyah di bumi Palestin kemudiannya dihentikan oleh Salahuddin Al Ayyubi (1169-1193 M) pada 583 H di dalam peperangan Hittin. Tentera Salibiyyah yang dibidak Guy The Lusignan dan Reynald The Chatillon mengalami kekalahan teruk dan sangat memalukan.

Namun, yang yang dilakukan oleh Salahuddin al-Ayyubi sangat berbeza dengan tindakan yang pernah dilakukan oleh Godfrey, peristiwa pembantaiannya terhadap penduduk Palestin 90 tahun sebelum ini. Setelah Jerusalem berjaya ditawan tentera Islam, Salahuddin diancam oleh Balian, Baron of Ibelin yang telah kalah dalam pertempuran itu untuk membunuh keluarga mereka sendiri, haiwan ternakan, membunuh 5,000 orang Islam yang ditawan, meruntuhkan kubah batu (Doom of the rock) dan juga Masjidil Aqsa.

Setelah Salahuddin mendengar hujjah dungu kekalahan Balian, seraya beliau bertanya kepadanya, “Adakah kaum wanita, kanak-kanak yang tidak berdaya hendak juga kamu bunuh?”

Melihatkan ancaman Balian itu, Salahuddin Al Ayyubi menawarkan kepada orang-orang Kristian di Palestin, “Jika tentera Salib menyerah, mereka dan seluruh keluarga termasuklah harta-harta mereka boleh meninggalkan Jerusalem dalam tempoh masa 40 hari.”

Hal itu mengejutkan Balian, walaupun sebelum ini tentera Salibiyyah yang pernah dipimpin Godfrey membunuh puluhan ribu orang Islam setelah berjaya merampas Palestin, tetapi Salahuddin tetap memberikan peluang kepada tebusan-tebusannya tanpa menaruh rasa dendam untuk membalas perbuatan Godfrey.

Salahuddin memberi peluang membebaskan mereka dengan wang tebusan bagi seorang lelaki sebanyak 10 dinar, wanita 5 dinar dan kanak-kanak 1 dinar. Wang tebusan itu adalah harga kemerdekaan yang paling murah pernah dilakukan, malah Salahuddin menetapkan bahawa seluruh jumlah wang tersebut akan digunakan untuk membangunkan semula Jerusalem yang telah musnah. Lalu berbondonglah para bangsawan dan panglima tentera Salib keluar dari Jerusalem, mereka keluar dari kota itu tanpa mempedulikan nasib yang menimpa kepada para pengikut mereka sebelum ini yang tidak mampu membayar wang tersebut walau dengan jumlah 1 dinar.

Apabila Salahuddin Al Ayyubi mengetahui masih ada yang tidak mampu membayar dengan jumlah yang ditawarkan itu, maka Salahuddin kembali mengumumkan bahawa sesiapa yang miskin akan dibebaskan tanpa bayaran. Keluarlah mereka beramai-ramai dari pintu St. Lazarus dari pagi sehingga ke malam bersaksikan keadilan yang dimiliki oleh Sultan yang beragama Islam itu.

Keluhuran akhlak dan kecintaan Salahuddin al-Ayyubi kepada kedamaian begitu mendalam walaupun beliau sendiri merupakan panglima perang, tetapi jalan peperangan bukanlah jalan yang ditagih, sebaliknya perang dilakukan adalah kerana cintanya untuk mempertahankan Islam.

Di Mesir, Salahuddin membina sebuah benteng tebal yang kukuh dan panjangnya lebih daripada satu kilometer. Di Dimashq, beliau telah mendirikan rumah pemeliharaan bagi orang-orang miskin. Demikian juga di Sudan, Yaman dan lain-lain negara yang pernah ditadbirnya terdapat banyak bangunan kebajikan untuk rakyat. Tetapi ketika akhir hayat Salahuddin, sultan yang pernah mengepalai negara dari Syam sehingga ke Afrika itu hanya meninggalkan 1 dinar dan 36 dirham. Tiada sebutirpun emas, sebidang kebun atau tanah yang mampu diwariskannya. Sehinggakan peruntukan untuk membeli kain kafanpun merupakan hasil sumbangan menteri kerajaannya. Ternyata Panglima besar ini, Salahuddin tidak memikirkan sama sekali harta untuk dirinya. Semua tenaga dan harta miliknya  dicurahkan untuk perjuangan di jalan Allah semata-mata.

Kisah Sultan Saifuddin Qutuz

Sejarah kembalinya Palestin ke tangan orang Islam diteroka dan ditinjau, sebenarnya diteraju oleh pemimpin yang terdiri dari orang yang terlebih dahulu berjaya membebaskan dirinya dari penghambaan kepada nafsu mahupun mana-mana perkara yang tidak selayaknya disembah melainkan Allah Taala. Hal ini kerana, bagaimana kita mampu menewaskan musuh yang nyata sekiranya kita sendiri kalah dengan musuh yang menghuni diri kita sendiri. Demikian itu, kita saksikan hari ini di Palestin, Israel terus menggasak kerana percaya bahawa umumnya dunia Islam masih belum berhijrah memperbaiki diri dan mudah diperbudakkan ibarat lembu yang dicucuk hidungnya.

“Perbaiki cela yang ada pada diri, baharulah kamu mampu memperbaiki cela orang lain...”; Inilah rumus kemenangan umat Islam ke atas tentera-tentera anak cucu Genghiz Khan (tentera Tatar) di Ayn Jalut, Palestin. Ketika seluruh peta Islam jatuh ke pesta pembunuhan yang dilakukan tentera-tentera Tatar, Sultan Saifuddin Qutuz telah berjaya menewaskan mereka yang kelaparan darah para mujahidin.

Apakah kaedah yang digunakan oleh Qutuz?

Sebelum Qutuz membawa bala tenteranya ke medan perang, beliau terlebih dahulu menyisihkan pemimpin yang korup dan memerangi penguasa umat Islam yang kecundang dengan nafsu.

Qutuz pernah melaungkan kata-katanya kepada penguasa yang bertuankan hawa nafsu,“Wahai pemimpin umat Islam! Kamu diberi gaji daripada baitul maal sedangkan kamu benci untuk berperang, kamu tidak mempertahankan maruah Islam! Aku ingin berhadapan kepada Allah dan Rasul-Nya dalam keadaan mempertahankan agama, maka sesiapa di antara kamu memilih untuk berjihad, temani aku. Dan sesiapa memilih untuk enggan berjihad, pulanglah ke rumah. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan dosa kehormatan Muslimin yang akan ditanggungnya oleh orang yang tidak turut  berjihad...”.
Dari hal itu, Qutuz telah mendahulukan harta kerajaan untuk diinfaqkan ke medan jihad, sebelum meminta kerahan hasil baitul maal dan harta rakyat jelata disumbangkan.

Qutuz turut melakukan pengislahan terhadap politik negara yang ketika itu tidak stabil dengan ketamakan dan perebutan kuasa yang berlaku antara penyokong Turansyah (cucu Almarhum Sultan Salahuddin al-Ayyubi), penyokong Syajaratud Durr, penyokong Sultan an-Nasir Yusuf di Syam dan penyokong Sultan ‘Aizzudin Aibaq. Qutuz menghentikan permusuhan yang berlaku antara Mamluk Bahriyyah dan Mamluk Mu’izziah, serta mengeratkan hubungan Mesir dan Syam yang sebelum ini tegang dengan persengketaan di antara ‘kem’ Ayyubiyah dengan ‘kem’ Mamluk. Orang-orang Ayyubiyah menganggap orang Mamluk tidak berhak memerintah Mesir kerana mereka daripada golongan hamba.

Qutuz turut menjernihkan perbalahan antara penyokong Khawarizmiyyah dengan penyokong Abbasiyyah yang pernah dihangatkan dengan api permusuhan doktrin dan aliran.

Qutuz juga meninggikan institusi ulama’ sebagai organisasi tertinggi di dalam kerajaannya, di mana Sultanul Ulama’ Sheikh ‘Izziddin Abd Salam dijadikan penasihatnya dalam semua keputusan kerajaannya. Demikian itu, baharulah Allah Taala memberikan kemenangan kepada Qutuz di Ayn Jalut, bertepatan dengan syarat kemenangan-Nya :

“...Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata: Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; Sesungguhnya Allah akan membatalkan (kemenangan), adapun Allah tidak akan memberikan kebaikan (kemenangan) kepada orang-orang yang melakukan kerosakan. Dan Allah akan mengukuhkan kebenaran dengan ketetapan-Nya, walaupun orang-orang yang membuat dosa tidak menyukai.” (Surah Yunus: 81).

Allah akan membatalkan kemenangan dan memberikan kepalsuan kepada orang yang melakukan kerosakan. Dan kemenangan daripada Allah hanya akan diberi apabila syarat-syarat telah terpenuhi apabila syariat-Nya dijaga.

http://www.tarbawi.my

No comments:

Post a Comment