DUBAI: Iran akan menumpaskan pakatan Barat yang mensasarkan pasaran mata wang asing dan emasnya.
Seorang penasihat pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata demikian semalam selepas tunjuk perasaan ganas memaksa penutupan bazar utama Teheran.
Polis bertempur dengan penunjuk perasaan dan menahan pengurup wang di sekitar bazar itu Rabu lalu ketika tunjuk perasaan ganas meletus berikutan kejatuhan nilai mata wang negara itu.
Rial Iran susut sepertiga daripada nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat sejak seminggu lalu.
Penunjuk perasaan menggelar Presiden Mahmoud Ahmadinejad pembelot kerana melakukan kesilapan besar dalam pengurusan ekonomi negara.
Ekonomi Iran terjejas teruk akibat sekatan Barat berkait dengan program nuklearnya.
Bagaimanapun, sehingga ini, tidak ada kritikan terbuka dilemparkan terhadap orang paling berkuasa di negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
“Iran akan mengatasi perang psikologi dan pakatan jahat yang mensasarkan pasaran mata wang dan emasnya.” kata Gholam Ali Haddad Adel, penasihat Khamenei, kepada agensi berita separa rasmi negara itu, Fars.
“Kuasa yang sombong beranggapan Iran sudah bersedia untuk melepaskan revolusi Islam menerusi tekanan ekonomi. Tetapi kami kini dalam proses mengukuhkan kekuatan ekonomi Iran,” katanya.
Gholam Ali adalah sekutu Khamenei dan bapa mentua kepada anak pemimpin Iran itu, Mojtaba.
Kebanyakan bazar terbabit masih ditutup semalam.
Penganalisis berkata, sebarang rasa tidak puas hati pada masa akan datang akan merebak lebih cepat jika ia dibiarkan bertapak.
Ahli perniagaan berkata, bazar itu akan dibuka semula hari ini dengan kehadiran anggota keselamatan.
Ia memang ditutup pada Jumaat.
Peniaga di bazar itu yang memainkan peranan utama dalam menumbangkan raja Iran pada 1979, mempunyai pengaruh penting.
Kekacauan Rabu lalu adalah tanda jelas bahawa kesukaran ekonomi yang dihadapi kebanyakan rakyat Iran, mula turut dirasakan oleh peniaga. - Reuters
No comments:
Post a Comment