Saturday, October 6, 2012

Pengerang: Salahuddin akan hantar surat kepada MB Johor



Abdul Aziz Mustafa,
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub akan menghantar surat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bagi memastikan perbincangan mengenai masalah penduduk Pengerang diadakan.

"Tidak kisahlah sama ada debat, perbincangan atau apa sahaja yang wajar asalkan dapat diselesaikan masalah penghapusan 10 kampung di Pengerang untuk projek Rapid (Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia) itu," kata beliau.

Surat rasmi mengenai perkara tersebut akan dihantar dalam waktu yang segera dan terdekat kepada Menteri Besar Johor itu, kata beliau.

"Isu utama ialah mengapa hendak ambil alih tanah penduduk sedangkan ada tanah kerajaan yang boleh digunakan untuk projek tersebut," katanya.

Ketika berucap di Dewan Rakyat, Salahuddin memberitahu, terdapat tanah kerajaan yang luas, yang lebih daripada 5,000 hektar daripada sempadan Sungai Kapas sehingga ke Desaru.

"Kenapa tidak dibuat di tanah yang seluas itu tetapi hendak ambil daripada 10 kampung itu?

"Itu isunya yang saya ingin dapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan supaya isu ini dapat dijawab dalam Dewan yang mulia ini supaya rakyat kampung tradisi ini tidak akan hilang daripada peta negeri Johor dan mereka tidak akan hilang kampung halaman mereka," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin mengulangi penegasan bahawa pihaknya tidak menghalang pembangunan.

"Kita mahu pembangunan dan kita sudah dapat bukti ada satu tanah kerajaan yang luas...Rapid, Petronas hendak buat, buatlah untuk memajukan negeri Johor.

"Johor negeri besar, kita bukan negeri kecil...ada banyak tanah lagi. Akan tetapi kenapa 10 kampung ini hendak diusir," katanya.-Harakah

No comments:

Post a Comment