Saturday, October 6, 2012

Presiden Filipina pertahan Undang-Undang Jenayah Siber


       
MANILA : Presiden Benigno Aquino mempertahankan Undang-Undang Jenayah Siber semalam, walaupun mendapat tentangan daripada pengkritik yang berkata ia akan menyekat kebebasan Internet dan menakutkan pengguna dan menggalakkan tapisan kendiri.

Secara khusus, Benigno mempertahankan elemen paling kontroversi dalam undang-undang itu, iaitu sesiapa yang meletakkan komen menfitnah di internet akan menerima hukuman penjara lebih panjang daripada mereka yang melakukannya melalui media tradisi.
“Saya tidak bersetuju peruntukan itu (memfitnah) perlu dibuang. Sekiranya anda membuat kenyataan menfitnah di Internet, ia masih lagi fitnah... tidak kira apa formatnya,” kata Benigno kepada wartawan.

Satu lagi elemen kontroversi dalam undang-undang itu, yang mula diperkenalkan kelmarin, membenarkan kerajaan memantau aktiviti Internet, seperti e-mel, perbualan video dan pemesejan segera, tanpa perlu waran.


Kerajaan juga boleh bertindak menutup laman web yang dirasakan terlibat dalam aktiviti jenayah tanpa waran.


Pertubuhan Hak Asasi Manusia, pertubuhan media dan pengguna internet meluahkan kemarahan mereka dan ada yang berkata ia seperti sekatan kebebasan yang dikenakan oleh bekas diktator, Ferdinand Marcos pada tahun 1970-an.

Isu ini semakin panas diperkatakan di media sosial dan penggodam internet mula menyerang laman web kerajaan, manakala 10 petisyen difailkan di Mahkamah Agung untuk membatalkan undang-undang itu. - MT

No comments:

Post a Comment