BISHKEK - Polis Kyrgyzstan semalam menahan tiga Ahli Parlimen dipercayai mengetuai sekumpulan penunjuk perasaan dalam cubaan menyerbu bangunan ibu pejabat kerajaan sebagai bantahan terhadap isu lombong emas yang dimiliki oleh Kanada.
Media tempatan melaporkan, pertempuran antara polis dengan penyokong pembangkang, Ata Zhurt adalah yang terburuk sejak pemberontakan menggulingkan bekas Presiden Kurmanbek Bakiyev pada April 2010.
Demonstrasi kelmarin, pada mulanya diadakan secara aman bertujuan mendesak kerajaan mengambil semula lombong emas Kumtor yang dimiliki syarikat Kanada, Centerra Gold bertukar ganas dengan campur tangan Ahli Parlimen dan kumpulan aktivis.
Ahli Parlimen, Kamchibek Tashiyev, Sadyr Zhaparov dan Talant Mamytov ditahan atas tuduhan melakukan rampasan kuasa dan pihak pendakwa raya mempunyai 48 jam untuk memfailkan kes tersebut di mahkamah.
Jurucakap Ata Zhurt, Nurgazy Anarkulov percaya, penahanan Ahli Parlimen itu bermotifkan politik dan penganiayaan.
“Mereka berjuang demi kepentingan rakyat dan untuk masa depan negara ini,” katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment