Saturday, October 6, 2012

Obama ikrar akan terus cabar Romney

DENVER, Colorado 5 Okt. - Sehari selepas pencapaian hambarnya dalam debat Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam bangkit semula dan berikrar akan terus mencabar calon Presiden Parti Republikan, Mitt Romney.
Di hadapan kira-kira 12,000 penyokongnya di Sloan's Lake Park, di sini pagi semalam, Obama menyatakan bekas Gabenor Massachusetts itu tidak bercakap benar sepanjang 90 minit perdebatan, yang dilihat ramai sebagai peluang cerah Romney untuk memenangi pilihan raya tersebut.
"Apabila saya naik ke pentas, saya berdepan dengan seorang pemimpin yang mendakwa dirinya sebagai Mitt Romney.
"Tetapi, saya rasa dia bukan orangnya kerana Romney yang sebenarnya sibuk menguar-uarkan tentang janjinya untuk pemotongan cukai bernilai AS$5 trilion (RM15 trilion) yang menyebelahi golongan kaya. Individu yang berada di atas pentas kelmarin tidak tahu-menahu langsung tentang perkara itu," katanya.
Walaupun sering dikritik sebagai kaku, penguasaan pemimpin dari Parti Republikan tersebut dalam debat kelmarin, memberikan beliau kelebihan selepas berdepan pelbagai tamparan sejak berbulan-bulan lalu.
Sepanjang debat berlangsung, Obama juga tidak menggunakan peluang untuk menyerang Romney berhubung rekod perniagaannya di Bain Capital, video mengkritik 47 peratus pengundi AS dan tidak mendedahkan mengenai perincian penyata cukai pendapatan.
Sementara itu, Romney semalam buat pertama kalinya mengaku, kenyataannya yang mengkritik 47 peratus pengundi AS dalam satu rakaman video sebelum ini adalah satu tindakan yang 'sama sekali silap'.
"Dalam kempen, saya perlu berdepan dengan beratus-ratus dan kadangkala beribu-ribu ucapan serta sesi soal jawab. Kadang-kadang, berlaku kesilapan yang tidak disengajakan.
"Dalam hal ini, saya telah katakan sesuatu yang silap," katanya.
Bulan lalu, majalah Mother Jones mendedahkan rakaman video Romney mengutuk penyokong Presiden sebagai 'mangsa' yang terlalu bergantung kepada kerajaan dan lari daripada membayar cukai.
Menurut tinjauan pendapat terbaru Reuters/Ipsos, perdebatan yang disaksikan 67.2 juta penonton itu kelmarin, membantu peningkatan populariti Romney ke paras 51 peratus, kali pertama dicapai oleh beliau, sementara Obama kekal meraih sokongan 56 peratus pengundi. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121006/lu_03/Obama-ikrar-akan-terus-cabar-Romney#ixzz28Vbcc9U7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment