Friday, October 26, 2012

Pejuang kuasai daerah di Allepo


       
ALEPPO: Pemberontak Syria mengambil alih kawasan kejiranan Kurdis yang strategik dan penting di Aleppo, semalam.

Mereka juga menawan sebuah pos tentera di timur laut negara itu, kata penduduk dan pemerhati kemanusiaan.


Ketika pemerhati menunggu sama ada rejim Presiden Bashar al-Assad akan menerima cadangan gencatan senjata sepanjang cuti Aidiladha, penduduk di daerah Ashrafiyeh di utara Aleppo memberitahu wartawan, kira-kira 200 pejuang memasuki kawasan itu buat kali pertama. “Saya lihat kumpulan lelaki bersenjata memasuki jalan raya bersama senjata berat yang dimuatkan dalam kenderaan mereka yang bertulis ‘Liwa al-Tawhid’,” kata seorang penduduk.

Kumpulan Liwa al-Tawhid ialah unit utama Barisan Pembebasan Syria (FSA).


“Penembak tepat juga menduduki beberapa bangunan dan kira-kira 50 lelaki bersenjata yang memakai lilit kepala dengan slogan Islam memasuki sebuah sekolah. “Saya dengar mereka berkata: “Kami datang ke sini untuk meraikan Aidiladha bersama anda,’” katanya.


Penduduk Syria mula menyambut Aidiladha hari ini selama empat hari.



Kelmarin, utusan damai Liga Arab, Lakhdar Brahimi berkata, kerajaan Bashar di Damsyik bersedia menerima cadangan gencatan senjata sempena perayaan itu.


Daerah kejiranan Kurdis di Ashrafiyeh, utara Aleppo sebelum ini dikawal penduduk tempatan.

Ia amat penting dan strategik kerana kedudukannya di kawasan bukit di bandar itu dan menjadi laluan antara bahagian tengah dan utara Aleppo.


Aleppo menjadi medan pertempuran utama antara pejuang pejuang dengan tentera kerajaan sejak pertengahan Julai lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment