Pemberontak bersenjata
Anggota keselamatan sedang bercakap sesuatu dengan wakil bekas kumpulan pemberontak yang tiba dari pelbagai bandar di Libya, kelmarin. Foto: AP
TRIPOLI - Kira-kira 200 penunjuk perasaan bersenjata dan kumpulan pemberontak mengepung kawasan berhampiran Parlimen di Tripoli, kelmarin.

Akhbar tempatan melaporkan mereka turut menghalang lalui lintas dan menggunakan kekerasan terhadap petugas media yang berjaya membolosi kepungan pagar pusat persidangan tersebut.

Difahamkan, protes sejak tiga hari lalu yang disertai kumpulan menggelar diri mereka 'revolusioner' dari kawasan barat dan timur Libya itu bertujuan untuk membantah pelantikan beberapa menteri era bekas pemimpin Muammar Gaddafi.

Jurucakap bekas anggota keselamatan, Abdel-Moneim al-Hour berkata, mereka akan terus berhimpun di hadapan bangunan Kongres Agung Kebangsaan (GNC) itu sehingga tuntutan mereka dipenuhi oleh Perdana Menteri Ali Zidan.

"Perdana Menteri seharusnya menyekat mana-mana bekas pemimpin yang pernah berkhidmat di bawah pentabiran Gaddafi daripada memegang sebarang jawatan dalam kerajaan," tegasnya. - AP