IPOH 2 Nov. - Tindakan polis memecah masuk sebuah rumah di Lebuh Rapat Baru, Taman Soon Choon di sini Rabu lalu dengan membawa keluar seorang gadis berusia 24 tahun dilakukan mengikut saluran undang-undang di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu mengurung secara salah.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Anuar Osman berkata, tindakan itu diambil susulan panggilan telefon yang dibuat oleh See Yen Lin, 24, yang mendakwa dia dikurung oleh keluarganya di dalam rumah selama sebulan.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Kampung Rapat bergegas ke rumah Yen Lin dan terpaksa memecah masuk selepas ibu gadis terbabit enggan membuka pintu.
"Polis menerima panggilan melalui talian kecemasan 999 daripada seorang gadis yang mendakwa dia dikurung oleh keluarganya di dalam rumah selepas mengaku memeluk agama Islam.
"Sejurus kita sampai di rumah itu, polis meminta secara baik dan berbincang supaya pintu dibuka, namun tidak diendahkan oleh ibu Yen Lin sehingga kita terpaksa memecah masuk rumah tersebut dan membawa gadis itu keluar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas dakwaan bapa gadis tersebut, See Chok Chai, 53, pada sidang akhbar di rumahnya hari ini yang kesal dengan tindakan polis memecah masuk rumahnya tanpa menunjukkan waran geledah.
Dakwa lelaki itu, tindakan polis tersebut keterlaluan dan mencabul haknya sebagai bapa yang mempunyai hak mutlak ke atas anak perempuannya.
Anuar berkata, laporan polis mengenai kejadian itu telah dibuat oleh gadis terbabit di Balai Polis Kampung Rapat pada hari kejadian.
Menurutnya, gadis itu kini diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk pengawasan.
"Gadis ini berusia 24 tahun dan bukannya bawah umur. Oleh itu, adalah salah sekiranya mengurung dia walaupun yang mengurung itu adalah ahli keluarganya sendiri.
"Apa yang kita lakukan adalah mengikut lunas undang-undang malah gadis itu sendiri yang meminta dia dikeluarkan dari rumah keluarganya tanpa wujud sebarang unsur paksaan," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121103/je_07/Gadis-peluk-Islam-dikurung#ixzz2BEASQV79
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment