Sunday, November 4, 2012

Taktik kotor cemari pilihan raya Presiden AS




OBAMA (kanan) berjabat tangan dengan lawannya, Romney sebelum pusingan pertama debat pilihan raya Presiden di Denver, Colorado papda 3 Oktober lalu.


CHICAGO - Iklan menakutkan pengundi, borang pendaftaran pengundi dibuang ke tong sampah dan kenyataan mengelirukan adalah antara taktik kotor yang mencemarkan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Menjelang proses pengundian Selasa ini yang menyaksikan Presiden Barack Obama ditentang calon Republikan, Mitt Romney, pakar-pakar politik memberi amaran taktik kotor mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya itu.
"Sekiranya pilihan raya sudah dekat, perkara-perkara seperti itu (taktik kotor) perlu diambil kira," kata Pengarah Pusat Dasar Awam Annenberg, Kathleen Jamieson.
"Pengalaman berdepan taktik kotor pernah dialami pada pilihan raya tahun 2000 dan 2004," tambahnya.
Bagaimanapun, kata Jamieson, sebahagian taktik kotor boleh memakan diri.
Menurutnya, sejumlah cakera video digital (DVD) yang dihantar kepada pengundi di beberapa negeri atas pagar di AS mendakwa bahawa ibu Obama pernah berbogel dalam sebuah majalah lucah mengundang kemarahan pengundi.
"Apabila taktik kotor seperti itu digunakan, ia hanya dipercayai oleh penyokong fanatik sesebuah parti dan tidak akan mengubah pendirian pengundi lain," jelas Jamieson.
"Taktik sebegitu juga berisiko mencetuskan kebencian ramai orang berbanding mereka yang terpedaya," tambah pakar politik berkenaan.
Namun, editor sebuah laman web fakta di AS, Brooks Jackson berkata, taktik memburukkan lawan kerap digunakan kerana ramai pengundi cetek pengetahuan politik.
Baru-baru ini, Romney dikecam hebat penyokong parti Demokrat dan pengurusan General Motors serta Chrysler kerana menyiarkan iklan politik palsu yang membayangkan dua syarikat pengeluar kereta itu mementingkan pekerja China dengan membuka kilang di negara berkenaan.
Kedua-dua firma berkenaan yang hampir muflis telah diselamatkan oleh Obama menerusi pelan ekonominya. - AFP

No comments:

Post a Comment