SHAH ALAM – Masyarakat dunia disaran menyatakan pendirian terhadap kenyataan pemenang hadiah Nobel Keamanan, Aung Sang Suu Kyi yang memutuskan enggan membela atau memihak mana-mana pihak dalam isu Islam Rohingya.
Setiausaha Agung Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, komitmen antarabangsa perlu mengambil tanggungjawab untuk membela nasib etnik tertindas itu.
“Di Myanmar sekarang sudah tidak ada siapa yang boleh diharapkan untuk membantu masyarakat Islam Rohingya selepas beliau, Suu Kyi sendiri membuat kenyataan seperti itu.

“Kini beban itu sudah beralih kepada masyarakat dunia untuk menggalas tanggungjawab membela nasib mereka,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Berdasarkan laporan BBC hari ini, Suu Kyi berkata, beliau tidak akan menggunakan kepimpinan moralnya untuk menangani krisis semasa di barat Myanmar.

Menurut laporan BBC, tindakan berdiam diri Suu Kyi sehingga ke hari ini telah mencetuskan kekecewaan di kalangan penyokong seluruh dunia termasuk kedua-dua pihak iaitu Rohingya dan penduduk Buddha Rakhine.

Menurut Mohd Azmi, kenyataan Suu Kyi itu juga dilihat sebagai satu kenyataan yang tidak wajar daripada seorang yang mendapat junjungan sebagai ikon demokrasi yang memperjuangkan isu kemanusiaan.

Katanya, penghargaan yang diterima Suu Kyi adalah tidak layak lagi kerana gagal membela nasib masyarakat Islam Rohingya yang sangat jelas ditindas dan diketahui oleh seluruh masyarakat dunia.

Sementara itu, Mohd Azmi turut berpendapat, Suu Kyi kini lebih mementingkan kedudukannya sebagai ahli Parlimen pada pemilihan yang bakal diadakan pada 2014 demi mendapatkan sokongan penganut Buddha.

“Suu Kyi telah menggadaikan prinsip demi kepentingan politiknya,” katanya lagi.