Pegang meja takut khatan
Gelagat Mohd Zaim yang enggan dikhatankan menyorok di bawah meja.
Pegang meja takut khatan
Beberapa petugas terpaksa memegang Mohd Zaim yang meronta minta dilepaskan.
BALING - Gara-gara takut dikhatankan seorang kanak-kanak bertindak menyorok di bawa meja.
 
Detik itu dirakamkan ketika Majlis Khatan Perdana Kelab Putera 1Malaysia di Kompleks Rakan Muda di sini, semalam.

Gelagat Mohd Zaim Najmi Mohd Hanif,  9, menjadi tumpuan ramai apabila enggan membenarkan doktor dan petugas mengkhatankannya.

Kira-kira 10 orang petugas terpaksa memegang Mohd Zaim Najmi yang meronta dan merayu dilepaskan sepanjang majlis berkhatan itu.

Mohd Zaim yang berasal dari Kampung Charuk Beras, Kuala Ketil antara salah seorang dari 500 kanak-kanak yang terlibat dalam majlis berkhatan itu.

Ayahnya, Mohd Hanif Nordin, 38, berkata, anak ketiganya itu begitu bersemangat sebelum ini sehinggalah tiba gilirannya untuk berkhatan.

“Mohd Zaim bersetuju untuk berkhatan tahun ini. Lagipun, dia amat gembira malah tidak menunjukkan sebarang perasaan takut.

“Tetapi, saya tidak menyangka dia sanggup lari dari meja berkhatan dan terus menyorok di bawah meja. Ramai juga juga memujuk tetapi tidak berhasil. Disebabkan itu, kami terpaksa memegangnya agar dia dapat bersunat,” katanya kepada Sinar Harian.

Gelagat Mohd Zaim terus mencuri tumpuan apabila meronta dan merayu dilepaskan dengan alasan belum lagi bersedia untuk bersunat.

Mohd Zaim yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Samak akhirnya berjaya disunatkan seterusnya mendapat tepukan semua petugas dan doktor yang bertugas.

Majlis khatan anjuran Umno Bahagian Baling dengan kerjasama Kelab Putera 1Malaysia itu adalah tahun ke-13 melibatkan penduduk seluruh Parlimen Baling.

Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, majlis dilakukan secara percuma menggunakan khidmat doktor dan tradisonal.

“Terpulang kepada ibu bapa menggunakan khidmat khatan yang disediakan. Sebanyak 20 doktor perubatan disediakan sempena majlis ini,” katanya selepas merasmikan majlis berkhatan itu.