Penyokong Parti Rakyat Pakistan (PPP) berdoa ketika memperingati ulang tahun ke lima kematian bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto di Rawalpindi semalam. - Foto AP
Lebih 200,000 berhimpun di makam bekas perdana menteri
Larkana: Pakistan memperingati ulang tahun kelima pembunuhan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto semalam, dengan anak lelakinya dijangka melancarkan kerjaya politik apabila menyampaikan ucapan di bandar asal keluarga itu.
Bhutto, dua kali dipilih sebagai perdana menteri, dibunuh dalam serangan senjata dan bunuh diri selepas satu perhimpunan pilihan raya di Rawalpindi, ibu pejabat tentera Pakistan pada 27 Disember 2007. Tiada siapa didakwa sehingga kini.
Lebih 200,000 berkumpul di makam keluarga itu di wilayah selatan Sindh dan Bilawal Bhutto Zardari, anak lelaki Benazir dan Presiden Asif Ali Zardari, akan membuat ucapan awam pertamanya.
Keluarga Bhutto menjadi tonggak politik Pakistan dalam sejarah hampir 65 tahun negara itu.
Bapa Benazir, Zulfikar Ali Bhutto menerajui negara itu dari 1971 sebelum disingkir dalam rampasan tentera pada 1977. Beliau dihukum gantung pada 1979 selepas disabitkan mengarahkan pembunuhan seorang pembangkang politik.
Perkenal generasi ketiga
Dengan pilihan raya umum dijangka diadakan pada musim bunga, penganalisis berkata Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang memerintah tidak sabar memperkenalkan generasi ketiga dinasti itu.
“Jelasnya ia adalah pelancaran rasmi Bilawal Bhutto Zardari ke dalam politik,” kata penganalisis politik Hasan Askari kepada AFP.
“Bilawal mempunyai nilai simbolik kepada keluarga Bhutto dan Zardari mahukan kaitan ini digunakan sebagai simbol dalam pilihan raya.” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment