Presiden Anak: Himpunan Oren bukan nak cari gaduh
Penyokong Anak berhimpun sambil memegang sepanduk tertera desakan supaya Isa Samad meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Felda.
Presiden Anak: Himpunan Oren bukan nak cari gaduh
Patung replika mirip wajah Isa Samad turut diarak menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
KUALA LUMPUR -  Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menegaskan Himpunan Oren bukannya bertujuan untuk menimbulkan permusuhan ataupun ketegangan dengan peneroka Felda sebaliknya ingin membela nasib golongan itu menerusi beberapa bantahan dan tuntutan yang dikemukakan kepada pejabat Felda hari ini.

Menurut beliau, antara empat tuntutan yang terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil Felda ialah mendesak Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan sebagai pengerusi Felda dengan serta-merta.

"Tindak tanduk Tan Sri Isa Samad telah merosakkan reputasi Felda dan menjejaskan perjalanan Felda pada keseluruhannya.

"Sama ada beliau meletakkan jawatan Pengerusi Felda serta merta atau Perdana Menteri memecatnya sebagai tindakan awal mengembalikan kedamaian dalam Felda," katanya kepada pemberita selepas himpunan bersurai di pekarangan bangunan Felda hari ini.

Mazlan turut mendedahkan bahawa pelantikan Isa adalah secara kontrak dan akan tamat pada 31 Disember ini.

"Kita mahu Najib sendiri mengambil tindakan dengan tidak menyambung semula kontrak tiga tahun Isa Samad yang akan tamat pada hujung tahun ini.

"Jika Najib ambil langkah ini menunjukkan ketelusan dan kebertanggungjawaban kerana Najib sendiri yang melantiknya sebagai pengerusi badan itu," katanya.

Selain itu, Mazlan turut mendesak supaya Felda mengembalikan semula 360,000 hektar tanah milik kerajaan negeri yang dipajakkan selama 99 tahun kepada Felda Global Venture Holdings (FGVH) susulan harga sahamnya merudum sehingga RM4.64 dan ia amat membimbangkan  peneroka Felda.

"Tanah ini boleh diagihkan kepada rakyat yang layak dan memerlukan sebaik saja ia dikembalikan.

"Lebih 80,000 rakyat yang layak seperti generasi kedua dan ketiga Felda, bekas tentera dan bekas kakitangan Felda beroleh manfaat jika diagih-agihkan secara adil," katanya.

Selain itu, memorandum tersebut katanya turut mendesak supaya Felda menghentikan penjualan minyak sawit kepada syarikat Yahudi yang berpangkalan di Singapura.

Tuntuan terakhir Anak ialah mendesak supaya campur tangan politik dalam Felda dihentikan segera.

Ini berikutan dana yang dimiliki Felda disalahgunakan untuk membiayai propaganda Umno-BN menerusi Jabatan Seranta yang diwujudkan dalam badan itu.

"Jabatan Seranta Felda di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ia di bawah kelolaan Datuk Ahmad Maslan. Sama seperti Special Branch dan Biro Tatanegara, ia berperanan selaku alat BN bagi mengekalkan dominasi politik BN di Felda," dakwanya lagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan beberapa insiden membabitkan kembara Himpunan Oren yang berakhir dengan kekecohan.

Keadaan menjadi teruk apabila ada pihak cuba melakukan provokasi sehingga menyebabkan pergaduhan yang menyaksikan Ketua Penerangan persatuan itu, Naraza Muda mendakwa dirinya diikat dan ditahan ketika menyertai konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda di Felda Kampung Awah, Maran, Pahang, minggu lalu.