ALGIERS 21 Jan. - Perdana Menteri Algeria, Abdelmalek Sellal berkata, sebanyak 37 tebusan asing maut dalam tragedi drama tebusan di Kompleks Minyak dan Gas di In Amenas, timur Algeria dengan beberapa lagi masih hilang termasuklah dua rakyat Malaysia.
Beliau pada sidang akhbarnya di sini hari ini berkata, seramai 29 militan terbunuh dan tiga orang lagi ditangkap hidup-hidup ketika serbuan tentera dilakukan Sabtu lalu.
''Sebanyak 37 tebusan asing dari lapan negara terbunuh ketika tentera kerajaan menggempur kompleks tersebut,'' kata beliau tanpa memperincikan rakyat dari negara mana.
Dalam laporan awal, seorang pegawai keselamatan memberitahu 81 orang maut ketika tentera mencari mayat mangsa di lokasi kejadian.
Pegawai yang enggan dikenali berkata, kebanyakan mayat itu berada dalam keadaan tidak sempurna menyebabkan sukar untuk dikenal pasti sama ada mereka adalah tebusan atau anggota kumpulan militan.
''Mayat ini sukar untuk dikenal pasti. Mereka mungkin mayat tebusan warga asing atau rakyat Algeria atau pengganas,'' katanya.
Pihak berkuasa Algeria sebelum ini berkata, sekurang-kurangnya 32 anggota militan dan 23 tebusan terbunuh selepas tentera menyerang dan menguasai kompleks tersebut kelmarin.
Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, tiga rakyatnya maut dalam kejadian itu dan tiga orang lagi turut dikhuatiri terbunuh.
Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Raul Hernandez pula berkata, enam rakyat negara itu merupakan antara tebusan yang terbunuh.
''Sebanyak 16 rakyat Filipina telah ditemukan namun empat orang lagi masih hilang,'' katanya.
Seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) dan beberapa pekerja warga Perancis juga merupakan antara tebusan asing yang maut dalam kejadian itu.
Mayat-mayat mangsa mula dibawa keluar hari ini dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Hampir berpuluh-puluh warga asing dipercayai masih hilang. - REUTERS/AP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130122/lu_01/2-rakyat-Malaysia-masih-hilang#ixzz2Iet91rBM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment