PUTRAJAYA - Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Senator Datuk S. Nallakaruppan gagal dalam rayuannya bagi mengetepikan keputusan
Mahkamah Tinggi yang mendapati dia bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008.
Tiga anggota panel Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Zaharah Ibrahim, Datuk Anantham Kasinater dan Datuk Mah Weng Kwai sebulat suara menolak rayuan Nallakaruppan.
Zaharah berpendirian bahawa tindakan Mahkamah Tinggi menolak pembelaan Nallakaruppan adalah betul selepas dia gagal membekalkan butiran berhubung dakwaannya terhadap Anwar.
Panel hakim itu juga memerintahkan Nallakaruppan membayar RM15,00 sebagai kos guaman kepada Anwar.
Nallakaruppan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun tahun lepas yang mendapati dia bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap pemimpin pembangkang itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Anwar untuk menolak pernyataan pembelaan Nallakaruppan.
Anwar membuat permohonan itu atas alasan Nallakaruppan gagal membekalkan butiran mengenai dakwaan yang dibuatnya.
Hakim itu juga memerintahkan Nallakaruppan membayar ganti rugi kepada Anwar yang akan dinilai oleh timbalan pendaftar mahkamah.
Pada 25 Ogos, 2008, Anwar memfailkan saman berhubung dakwaan Nallakaruppan dalam satu artikel, "Anwar terima RM60 juta".
Dalam pernyataan pembelaannya, Nallakaruppan mendakwa dia tidak berniat jahat dan kenyataan itu dibuat atas perlindungan bersyarat.
Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Nallakaruppan memberitahu mahkamah bahawa beliau diarah untuk mengemukakan perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan.
Anwar diwakili R.Sivarasa. - Bernama
No comments:
Post a Comment